MERAK Jalanan tergamam bila dengar tentang perkampungan haram di kawasan berbukit ladang kelapa sawit di Setia Alam yang baru-baru ini diserbu penguat kuasa.
Bukan kecil tetapi kawasan seluas 0.8 hektar, lengkap dengan komuniti macam kampung sebenar. Ada surau, kedai runcit malah bekalan air bersih.
Apa yang lebih mengejutkan, kampung ini bukan baru semalam wujud. Sudah lebih lapan tahun.
Penghuni pula bukan sedikit. Seramai 214 individu ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka. Ini bukan lagi pondok sementara, ini sudah jadi sebuah penempatan hidup yang tersusun.
Merak Jalanan bukan nak tanya siapa mereka. Itu kerja penguat kuasa. Cuma yang bermain di kepala, lapan tahun itu tempoh yang sangat panjang dan sepanjang tempoh itu takkan tiada siapa sedar?
Pada waktu malam, cahaya lampu di kawasan berbukit itu menarik perhatian.
Netizen sendiri boleh nampak dan kongsi gambar di media sosial. Kalau orang awam boleh nampak, takkan pihak bertanggungjawab tak perasan?
Merak Jalanan faham, selalu kita dengar seruan supaya orang ramai salurkan maklumat tetapi kalau sesuatu itu sudah wujud hampir sedekad, takkan sepenuhnya perlu bergantung pada maklumat awam semata-mata.
Malah ada pula cerita penghuni membayar sewa sekitar RM70 sebulan kepada pemilik tanah. Kalau perkara begini dibiarkan, daripada penempatan sementara, boleh jadi kampung tetap.
Ini bukan sekadar isu pendatang tanpa izin. Ini soal kedaulatan dan soal penguatkuasaan.
Bagi Merak Jalanan, yang perlu disiasat bukan hanya penghuni tetapi juga tangan-tangan yang membenarkan ia wujud selama ini.



