Terlepas tali gantung, pemandu lawan arus dipenjara 9 tahun

23 Oct 2026 • 8:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Terlepas tali gantung, pemandu lawan arus dipenjara 9 tahun

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan terlepas hukuman gantung apabila pertuduhan membunuh dua remaja yang maut dirempuhnya ketika memandu melawan arus di Lebuh Raya Persekutuan pada 2021 dipinda kepada membunuh tanpa niat di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh yang meminda pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304(b) kanun sama di akhir pendakwaan hari ini.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap tertuduh, K. Devaaswin, 29, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 17 September 2021.

Mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan RM60,000 bagi kedua-dua pertuduhan atau penjara setahun bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Peguam tertuduh, Datuk N. Sivananthan berkata, pihak pembelaan sejak awal menegaskan anak guamnya tidak mempunyai niat atau pengetahuan untuk menyebabkan kematian mangsa.

“Pada akhir kes pendakwaan, hakim bersetuju dengan hujahan kami dan menurunkan pertuduhan.

“Anak guam saya tidak teragak-agak untuk mengaku bersalah selepas pertuduhan dipinda kerana sejak hari pertama, kami berpendirian bahawa kes ini paling serius sekalipun hanya boleh dikategorikan di bawah Seksyen 304(b),” katanya.

Menurutnya, Devaaswin berasa lega dengan keputusan mahkamah kerana dia sendiri tidak mengenali kedua-dua mangsa dan turut berisiko maut dalam kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, anak guamnya menerima tanggungjawab atas kematian dua remaja berkenaan dan memahami bahawa hukuman perlu dikenakan namun mestilah setimpal dengan kesalahan.

Jelas Sivananthan, selepas mengambil kira pengurangan hukuman satu pertiga, anak guamnya dijangka menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan kini berbaki kira-kira 10 bulan sebelum dibebaskan.

Katanya, keluarga Devaaswin akan menguruskan pembayaran denda keseluruhan RM60,000 itu sebelum tarikh pembebasannya.

Devaaswin yang sebelum ini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh telah dipindahkan ke Penjara Kajang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafizi Abdul Halim.

Kosmo pada 20 September 2021 melaporkan Devaaswin didakwa membunuh terhadap Nur Afiqah Abdul Karim, 18, di Kilometer 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur di Shah Alam pada pukul 1.50 pagi, 12 September lalu.

Dia turut dituduh melakukan kesalahan sama terhadap Muhammad Hafiz Syamjr Dzul Asri, 19, di lokasi dan pada masa dan tarikh yang sama.

Dalam kejadian tersebut, kedua-dua mangsa maut apabila kereta Proton Wira Aeroback dinaiki mereka dilanggar oleh kenderaan Mitsubishi Triton yang dipandu Devaaswin
secara melawan arus. – KOSMO! ONLINE

The post Terlepas tali gantung, pemandu lawan arus dipenjara 9 tahun appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved