Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) hari ini telah menyerahkan Penarafan Terminal Gred A kepada Terminal 1 Seremban, sekali gus mengiktiraf terminal berkenaan sebagai sebuah hab pengangkutan awam darat yang memenuhi piawaian tertinggi dari aspek pengurusan, operasi, keselamatan dan kemudahan kepada pengguna.
Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh sistem pengangkutan awam darat yang lebih moden, selamat, bersepadu dan diyakini rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Terminal 1 Seremban yang dilesenkan oleh APAD sejak 1 Ogos 2023 merupakan hab pengangkutan awam darat utama di Negeri Sembilan yang menghubungkan perkhidmatan bas ekspres, bas henti-henti, BAS.MY, teksi serta mempunyai integrasi terus dengan Stesen KTM Seremban, sekali gus memudahkan pergerakan penumpang ke pelbagai destinasi di seluruh Semenanjung Malaysia.
Sebagai sebuah Terminal Gred A, Terminal 1 Seremban menyediakan pelbagai kemudahan moden dan mesra pengguna, antaranya ruang menunggu yang selesa, kaunter dan sistem pembelian tiket tanpa tunai, paparan maklumat perjalanan, kemudahan mesra Orang Kurang Upaya (OKU), sistem kamera litar tertutup (CCTV), ruang parkir, surau, tandas, premis makanan dan minuman serta ruang komersial yang menyokong keselesaan dan keselamatan pengguna.

Terminal ini kini mengendalikan antara 150 hingga 180 perjalanan bas setiap hari melibatkan 84 operator bas ke pelbagai destinasi di seluruh Semenanjung Malaysia. Bagi menyokong operasi tersebut, Terminal 1 Seremban menyediakan 46 platform, terdiri daripada 20 platform pelepasan, 6 platform ketibaan dan 20 platform bagi perkhidmatan BAS.MY serta bas henti-henti, dengan jumlah penggunaan lebih kurang satu juta penumpang setahun.
Penarafan Gred A diberikan berdasarkan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan APAD, meliputi aspek keselamatan, kecekapan operasi, penyelenggaraanfasiliti, kebersihan, aksesibiliti, penyediaan maklumat perjalanan, integrasi pelbagai modpengangkutan serta pengalaman keseluruhan pengguna.
Sebagai badan kawal selia pengangkutan awam darat di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715], APAD terus memastikan semua terminal berlesen di Semenanjung Malaysia beroperasi mengikut standard yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan, keselesaan dan kebolehpercayaan perkhidmatan kepada rakyat.
Selain memperkukuh infrastruktur terminal, Kerajaan turut memperkasakan rangkaian pengangkutan awam melalui Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST) yang beroperasi di bawah jenama BAS.MY. Di Negeri Sembilan, perkhidmatan BAS.MY yang berpusat di Terminal 1 Seremban menjadi pelengkap kepada rangkaian pengangkutan awam dengan menghubungkan kawasan perumahan, institusi pendidikan, hospital, kawasan perniagaan dan kemudahan awamdisekitar Seremban serta daerah berhampiran.
Bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan bas kepada rakyat, Kerajaan turut menyediakan Dana Bantuan Sementara Bas Henti-Henti (Interim Stage Bus Support Fund– ISBSF) berjumlah RM63.175 juta setahun bagi menyokong operasi perkhidmatan bas, khususnya di laluan yang kurang menguntungkan tetapi amat diperlukan masyarakat.
Pengiktirafan Terminal 1 Seremban sebagai Terminal Gred A membuktikan komitmen bersama Kementerian Pengangkutan, APAD, Majlis Bandaraya Seremban dan pihak pengendali terminal dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang berkualiti, selamat dan bersepadu, sekali gus memperkukuh keterhubungan mobiliti rakyat serta merangsang pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.
Kementerian Pengangkutan akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pemain industri bagi meningkatkan mutu perkhidmatan terminal serta memperluaskan akses kepada pengangkutan awam yang cekap, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.


