
ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mencadangkan agar pihak Aurelius Healthcare membuat kajian dan meneroka potensi pembangunan sebuah Hospital Aurelius di Perlis.
Baginda bertitah, ia sebagai sebahagian usaha memperkukuhkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk rakyat di negeri ini.
Cadangan tersebut selepas baginda berkenan menerima mengadap Pengerusi Eksekutif Kumpulan merangkap pengasas Aurelius Healthcare, Datuk Amir Firdaus Abdullah dalam satu majlis di Istana Arau baru-baru ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta puteri baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Delegasi Aurelius Healthcare itu turut disertai Pengarah Perubatan Kumpulan (Malaysia), Dr. Terence Leslie De Silva, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aurelius Hospital Alor Setar (AHAS), Dr. Ahmad Syamir Abdullah dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Kumpulan, Adeline Abdul Ghani.
Dalam sesi mengadap tersebut, Aurelius Healthcare yang kini beroperasi di tiga buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Pahang dan Kedah serta tujuh buah lagi di luar negara menyembah maklum pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Perlis bagi tahun 2026 yang melibatkan peruntukan keseluruhan RM70,000.
Peruntukan tersebut merangkumi empat komponen utama iaitu pembiayaan rawatan katarak untuk lima pesakit berjumlah RM22,520, prosedur Arteriovenous Fistula (AVF) bagi lima pesakit sebanyak RM22,520, Program Outreach Komuniti: Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang bernilai RM14,960 serta penajaan berjumlah RM10,000 bagi penganjuran Kejohanan Dunia Woodball Ke-10 2026.
Antara fokus utama dibincangkan ialah pelaksanaan Program Outreach Komuniti: Kesedaran Kesihatan Buah Pinggang yang akan dilaksanakan secara berfasa dari Julai hingga Oktober 2026 melibatkan kesemua 22 mukim Perlis.
Turut dibincangkan ialah cadangan memperluaskan saringan kesihatan di sekolah-sekolah khususnya melibatkan pemeriksaan Indeks Jisim Badan (BMI) dan paras gula dalam darah bagi pelajar sebagai langkah intervensi awal terhadap isu obesiti, diabetes dan penyakit hati berlemak.
Perbincangan turut menyentuh pelaksanaan prosedur Arteriovenous Fistula (AVF) bagi pesakit buah pinggang melalui dana CSR Aurelius Hospital Alor Setar dengan kerjasama MAIPs serta Unit Kerja Sosial bagi mengenal pasti penerima yang layak.
Pada masa sama, Aurelius Healthcare turut mengumumkan penajaan berjumlah RM10,000 bagi Kejohanan Dunia Woodball Ke-10 yang berlangsung dari 25 hingga 29 Julai 2026 di Laman Woodball, Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra, Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Kampus Alam Pauh Putra.-UTUSAN
The post Teroka potensi pembangunan Hospital Aurelius di Perlis – Raja Muda Perlis appeared first on Utusan Malaysia.



