TAMPIN – Penduduk Kampung Ulu Air Kuning Selatan di sini, hidup dalam keadaan tertekan berikutan gangguan lalat yang semakin memburuk di kawasan terbabit sejak seminggu lalu.
Mereka mendakwa keadaan itu dipercayai berpunca daripada dua buah ladang ayam di kawasan berkenaan.
Nor Hadilah Hadzir, 37 berkata, disebabkan masalah lalat, dia terpaksa membatalkan tempahan kuih raya pelanggan.
"Saya perancang perkahwinan dan setiap kali Ramadan, saya akan buat bisnes kuih raya di rumah ibu saya di sini.
"Tapi tahun ini saya buat keputusan batalkan tempahan yang telah dibuat pelanggan kerana tak tahan lalat yang sangat banyak,"katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, daripada 200 tempahan balang kuih loyang dan muruku yang diterimanya awal Ramadan lalu, hanya 15 balang kuih yang sempat disiapkannya.
Katanya, dia terpaksa membuat keputusan terbabit kerana bimbang kehadiran lalat yang akan menjejaskan kualiti produknya.
"Saya boleh katakan dalam tempoh 10 minit saja, kertas pelekat lalat yang diletakkan akan penuh.
"Macam mana saya nak berniaga kuih raya dengan keadaan dalam rumah banyak lalat berterbangan, siang dan malam.
"Dalam kolah mandi pun penuh dengan lalat, memang betul-betul tertekan dibuatnya,"katanya.
Ujarnya lagi, isu lalat di kampung tersebut bukanlah baharu, namun sejak kebelakangan ini semakin tidak terkawal.
Tambahnya, kehadiran lalat dalam jumlah luar biasa bukan sahaja mengganggu keselesaan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kebersihan dan risiko penularan penyakit.
"Dulu saya boleh tahan lagi, tapi sekarang ini makin teruk sehingga bisnes saya terjejas.
"Saya tak tahu nak suarakan kepada siapa lagi isu lalat di kampung ini kerana saya difahamkan ada yang sudah beritahu kepada pihak berwajib, tapi nampaknya masih berlarutan,"katanya.
Justeru, dia berharap adanya tindakan segera diambil terutama bagi memastikan penduduk dapat menyambut Aidilfitri dalam keadaan lebih tenang.


