
LAHAD DATU: Ketiadaan bekalan air ke Pangsapuri Mutiara Kasih (PMK) sejak dua minggu lalu bukan sahaja menyukarkan penduduk yang kebanyakannya umat Islam untuk menjalankan aktiviti harian, malah ia turut menjejaskan ibadah puasa di bulan Ramadan ini.
Seorang penduduk PMK, Kamarudin Hamid berkata, masalah ketiadaan bekalan air ini telah berlarutan sejak sekian lama, namun sehingga kini tiada tindakan konkrit diambil untuk mengatasinya.
Katanya, gangguan kali ini merupakan antara yang terburuk pernah dialami oleh penduduk PMK sehingga mereka terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk mendapatkan bekalan air.
Ketiadaan bekalan air bukan sahaja menjejaskan rumah-rumah di PMK tetapi turut menjejaskan aktiviti di masjid termasuk baru-baru ini, penduduk terpaksa membeli air yang cukup bagi menjalankan pengurusan jenazah ahli keluarga yang meninggal dunia.
“Keadaan ini sangat membebankan, kami tidak dapat menjalankan aktiviti harian dengan baik. Penduduk yang mempunyai anak bersekolah mengalami keadaan lebih sukar, dan ia turut menjejaskan sambutan bulan Ramadan kami,” katanya. PENDUDUK sedang mengisi tangki dengan bekalan air yang dibeli.
Menurut Kamarudin, bekalan air ke PMK dibekalkan oleh Jabatan Air ke tangki PMK sebelum diedarkan ke rumah penduduk oleh pihak pengurusan yang telah dilantik.
Katanya, pihak pengurusan juga telah mengambil inisiatif sendiri untuk membeli air bagi dibekalkan kepada penduduk.
“Penduduk juga terpaksa membeli air dengan harga RM50 untuk satu tangki 400 gelen bagi meneruskan kehidupan.
“Jabatan Air ataupun pihak Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) tidak pernah menghantar air ke sini dan keadaan sangat-sangat kritikal sekarang,” jelasnya.
Katanya, keadaan ini membuatkan penduduk PMK berasa dianaktirikan kerana mereka menduduki Program Perumahan Rakyat (PPR) milik kerajaan.
“Tiada tindakan konkrit diambil bagi menyelesaikan masalah ini, membuatkan kami rasa bahawa kerajaan tidak mengambil berat mengenai nasib kami di PPR ini.
“Kami rela membelanjakan wang untuk mendapatkan bekalan air, namun tidak semua penduduk di sini berkemampuan dan kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” tambahnya.
Seorang lagi penduduk, Haris Lase, berkata: “Bekalan air adalah keperluan asas, kalau tiada bekalan air, kita semua tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa membeli air untuk kegunaan harian.
“Saya berharap agar masalah ini mendapat perhatian pihak yang sewajarnya, bantulah kami disini agar tidak terbelenggu oleh masalah air lagi,” tambahnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
