
MERSING: Bekalan makanan bagi 239 ketua isi rumah (KIR) di tiga kampung Orang Asli di daerah ini yang terputus hubungan selepas jalan masuk ke kampung itu dinaiki air, mencukupi bagi keperluan komuniti berkenaan.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Johor Faisal Long berkata KIR terlibat adalah dari Kampung Orang Asli Peta, Kampung Orang Asli Punan dan Kampung Orang Asli Tewowoh.
“Setakat ini bekalan mencukupi dan pusat pemindahan sementara (PPS) juga sentiasa dipantau rapi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Mersing.
“Bagaimanapun, kita akan melihat keadaan banjir dan keperluan situasi semasa kerana jika mencapai satu minggu maka pihak JPBD Mersing akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menghantar bekalan makanan kepada mangsa yang terjejas,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sementara itu, Pengerusi JPBD Mersing Mohammed Shakib Ali dalam satu kenyataan berkata mangsa banjir dari Kampung Orang Asli Peta setakat 8 pagi ini sebanyak 91 orang daripada 32 keluarga.
Menurutnya kesemua mangsa masih berlindung di PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin yang dibuka sejak Selasa lepas dan keadaan cuaca pagi ini diramalkan cerah. - Bernama
