PARIT - Selama ini apabila menyebut ikan terubuk, kebanyakan masyarakat membayangkan laut dan negeri Sarawak sebagai habitat utamanya.
Namun tidak ramai menyedari bahawa Sungai Perak turut menyimpan khazanah spesies sama yang mempunyai keistimewaan tersendiri, malah dikatakan lebih enak dan berlemak.
Ikan terubuk ialah nama tempatan bagi beberapa spesies dalam keluarga Clupeidae, antaranya Tenualosa toli (terubuk sungai) dan Tenualosa macrura (terubuk laut).
**media[3455229]**
Spesies ini bersifat migrasi atau anadromous, iaitu membesar di laut sebelum mudik ke sungai untuk bertelur.
Di Perak, ikan tersebut dipercayai memasuki muara di Bagan Datuk sebelum berenang ke hulu sehingga ke kawasan Perak Tengah dan Kuala Kangsar.
Bagi Pengerusi Komuniti Nelayan (MyKP) Kampung Teluk Perang, di sini, Muhamad Shahrul Buari, 39, kewujudan terubuk di Sungai Perak bukan perkara baharu, tetapi kurang diketengahkan sebelum ini.
Menurutnya, kehadiran terubuk yang bermusim antara Januari hingga Februari serta Mei atau Jun menjadikannya tangkapan istimewa buat nelayan sungai.
“Saiz tangkapan lazimnya antara satu hingga tiga kilogram, malah pernah mencecah 3.6 kilogram.
“Majoriti yang diperoleh pula sarat dengan telur, faktor utama yang menjadikan ikan ini bernilai tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3455233]**
Beliau yang juga seorang nelayan dan peraih ikan sungai liar berkata, lubuk utama yang dikenal pasti kini tertumpu di sekitar Perak Tengah hingga ke arah Empangan Chenderoh.
Musim lalu sahaja, hasil tangkapan di kawasan Perak Tengah mencecah 100 kilogram. Bagaimanapun, musim kali ini sedikit terjejas berikutan faktor paras dan arus air sungai yang menyusut.
“Kalau ikut pemerhatian saya, ikan ini mudik dari Bagan Datuk naik ke hulu sehingga ke arah Empangan Chenderoh.
“Tetapi yang paling banyak dan bersaiz besar boleh diperoleh di kawasan Perak Tengah.
“Di Bagan Datuk dahulu ada juga, tetapi saiznya kecil sekitar 800 gram. Di sini (Perak Tengah) majoritinya satu kilogram ke atas,” katanya.
**media[3455246]**
Menurut Shahrul, keistimewaan terubuk Sungai Perak bukan hanya terletak pada telurnya, sebaliknya pada isi yang lebih manis dan berlemak.
Keadaan itu menjadikan tangkapan terubuk sebagai rezeki bonus kepada nelayan tempatan kerana mempunyai permintaan tinggi dengan harga yang lumayan.
“Kalau dahulu terubuk Sungai Perak tidak mempunyai pasaran jelas dan dijual sekitar RM80 sekilogram, kini nilainya melonjak sehingga RM250 sekilogram bergantung pada saiz dan bekalan.
“Saya pernah beri kepada pembeli di Pulau Pinang untuk rasa. Selepas itu dia hubungi saya semula dan beritahu, kalau ada berapa banyak pun hantar sahaja, mereka sanggup beli,” katanya.
**media[3455239]**
Bagi Shahrul, ikan terubuk bukan sekadar hasil tangkapan bermusim, sebaliknya berpotensi menjadi identiti perikanan negeri yang wajar diketengahkan.
Tambahan pula katanya, kehadiran spesies sensitif seperti terubuk secara tidak langsung memberi isyarat positif terhadap tahap kelestarian Sungai Perak.
“Ikan ini tidak akan berada di air yang kotor atau tercemar. Ia memerlukan air bersih dan arus deras.
"Bila ada terubuk, saya yakin ekosistem Sungai Perak di kawasan ini masih terpelihara,” katanya.
**media[3455240]**
Beliau berkata, dengan reputasi yang semakin tersebar serta permintaan yang meningkat saban tahun, tidak mustahil terubuk Sungai Perak mampu muncul sebagai ikon perikanan negeri, setanding reputasi terubuk Sarawak.
“Ikan lain itu biasa-biasa bagi saya, tetapi terubuk ini lain. Susah hendak jumpa di tempat lain. Siapa yang pernah rasa, pasti mahu lagi,” katanya.
