“Terus Berjuang, Kami Bersama Anda”, Onana & Garnacho Titip Mesej Kepada Faisal Halim

Football
11 May 2024 • 12:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

“Terus Berjuang, Kami Bersama Anda”, Onana & Garnacho Titip Mesej Kepada Faisal Halim

Berita pemain sayap lincah Selangor FC, yang menjadi mangsa simbahan asid pada Ahad lepas ternyata mengejutkan banyak pihak.

Ekoran kejadian itu, Faisal mengalami kelecuran tahap empat dan terpaksa menjalani beberapa pembedahan bagi merawat kecederaan tersebut.

Di media sosial, insiden tersebut nyata memberi kesan kepada banyak pihak, terutamanya kepada komuniti bola sepak tanah air.

Warga maya yang berkongsi rasa sedih dengan apa yang berlaku tampil bersolidariti dan mendoakan pemain tersebut agar segera sembuh.

Bermula daripada rakyat biasa, selebiriti hinggalah ahli politik, semuanya berharap pemain itu dapat kembali semula ke atas padang bermain bola sepak mewakili kelab dan negaranya.

Onana dan Garnacho titip mesej untuk Faisal Halim

Bukan itu sahaja, solidariti turut ditunjukkan oleh komuniti bola sepak di luar negara, khususnya di peringkat serantau.

Persekutuan bola sepak di Indonesia, Thailand dan Singapura misalnya turut memuat naik hantaran khusus yang didedikasikan buat pemain tersebut.

Terbaru, dua tonggak utama pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United turut maklum dengan insiden berkenaan dan meninggalkan mesej buat Faisal Halim.

Untuk pengetahuan pembaca, mesej berkenaan dikongsikan oleh Stadium Astro menerusi satu hantaran di X sebentar tadi.

Kami bersama anda dalam waktu sukar ini, terus berjuang

“Hai Faisal, kami mendengar apa yang berlaku dan kami merasai apa yang kamu lalui ketika ini. Kami bersama kamu.

“Ini waktu sukar untuk kamu dan keluarga kamu. Saya dan Garnacho mendoakan yang terbaik untuk anda. Terus tabah kerana kami bersama anda.

“Mewakili semua rakan-rakan sepasukan, saya ingin katakan kita bersama-sama dalam hal ini. Terus berjuang, kami bersama kamu,” kata Onana.

Manakala Garnacho juga turut meninggalkan pesanan yang serupa.

“Kekal tabah dan saya doakan yang terbaik buat kamu,” katanya.