Terus meningkat, NAFAS umum dividen 10 peratus bagi pelaburan SPKP-DPK

LocalBusiness & Finance
21 May 2025 • 8:50 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) mengumumkan kadar dividen Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP) Dana Peladang Kebangsaan (DPK) sebanyak 10 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kadar tersebut melibatkan tujuh peratus dividen dan tambahan tiga peratus bonus bagi pelaburan sehingga 100,000 unit pertama, manakala akaun simpanan Al-Wadiah DPK menerima hibah sebanyak 0.75 peratus.

Menurut beliau, DPK mencatat keuntungan bersih RM20 juta dengan agihan dividen dan bonus berjumlah RM16 juta atau 80 peratus daripada keuntungan tersebut.

“Jumlah keseluruhan komitmen bayaran dividen dan hibah mencecah RM16.1 juta akan member manfaat kepada 15,000 pelabur DPK di seluruh negara,” katanya.

image is not available

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Dividen SPKP DPK Tahun 2024 di Putrajaya, hari ini.

Sejak dilancarkan pada 2013, DPK telah mengagihkan dividen dan hibah sebanyak RM69.2 juta kepada pelabur dengan peningkatan melebihi 30% bagi tahun kewangan 2024.

Malah sehingga 31 Disember 2024, jumlah pelaburan SPKP-DPK meningkat kepada RM264.7 juta, sementara dana keseluruhan yang diuruskan DPK kini hampir mencecah RM273 juta melalui portfolio pelaburan jangka pendek dan panjang yang mampan.

Sementara itu, Mohamad berkata, prestasi DPK kini berada pada tahap membanggakan dengan pertumbuhan jumlah aset sebanyak lapan peratus selain putara peningkatan pendapatan tahunan sebanyak 22%.

“NAFAS telah membuktikan apabila pengurusan diperbaiki, kita telah nampak prestasi semakin meningkat dan boleh memberi dividen kepada pelabur sebanyak 10%.

“Saya harap tahun hadapan akan ada peningkatan apabila ia diuruskan dengan lebih baik tahun ini,” ujarnya.

image is not available

Pada majlis sama, DPK memperkenalkan insentif khas dalam bentuk wang tunai dan sijil penghargaan melibatkan peruntukan melebihi RM15,00 sebagai penghargaan kepada ejen kutipan aktif termasuk Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan pegawai pelaksana.