Terusan Panama hadkan pergerakan kapal akibat El Nino

WorldEnvironment
22 Aug 2026 • 10:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Terusan Panama hadkan pergerakan kapal akibat El Nino

BANDAR RAYA PANAMA: Terusan Panama dijangka mengehadkan jumlah kapal yang melalui laluan itu mulai awal September sebagai persediaan menghadapi paras air yang lebih rendah akibat fenomena cuaca ekstrem El Nino.

Pihak Berkuasa Terusan Pa­nama yang menyelia laluan air berkenaan mengumumkan had harian sebanyak 34 kapal dibenarkan melalui terusan ber­kenaan mulai 4 September. Had tersebut akan dikurangkan lagi kepada 32 kapal sehari mulai 15 September.

Sekatan itu merupakan perubahan dasar bagi Pihak Berkuasa Terusan Panama. Pada Mei lalu, pegawai badan berkenaan memberitahu Reuters tiada rancangan untuk mengehadkan jumlah kapal yang melalui terusan tahun ini, susulan langkah penjimatan air yang dilaksanakan tahun lalu.

Terusan Panama mengendalikan kira-kira lima peratus perdagangan maritim global dan biasanya mampu menampung sekitar 40 kapal sehari. Sejak Jun, purata 35 kapal sehari melalui laluan berkenaan.

Sebarang pengurangan ketara dalam jumlah kapal yang melalui terusan itu berkemungkinan menyebabkan penghantaran antarabangsa menjadi lebih perlahan bagi industri yang bergantung kepada laluan tersebut, sekali gus meningkatkan kos.

Paras air yang menurun pada tahun itu turut dikaitkan dengan fenomena El Nino serta perubahan iklim yang dipercepatkan oleh aktiviti manusia.

Saintis menjangka El Nino yang sangat kuat dalam beberapa bulan akan datang, malah berkemungkinan antara yang terkuat pernah direkodkan. Keadaan itu boleh meningkatkan kejadian cuaca ekstrem.

Pihak berkuasa Terusan Panama sebelum ini turut me­ngenakan had jumlah kapal bagi menjimatkan bekalan air. Terusan berkenaan menggunakan sistem pintu air yang menaikkan dan menurunkan kapal ketika ia bergerak dari Lautan Pasifik ke Laut Caribbean dan sebaliknya.

Namun, terusan itu sebahagiannya mendapat bekalan air tawar daripada tasik dan takungan berhampiran, terutama Tasik Gatun.

Penduduk Panama turut bergantung kepada tasik ber­ke­naan sebagai sumber air minuman bagi bandar-bandar berhampiran, termasuk ibu negara Bandar Raya Panama, sekali gus memberi tekanan tambahan kepada bekalan air ketika musim kemarau.

 

The post Terusan Panama hadkan pergerakan kapal akibat El Nino appeared first on Utusan Malaysia.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved