Di acara We Robot pagi ini, Tesla akhirnya memperlihatkan dua kenderaan swapandu terkini yang diberi nama Cybercab. Menurut Elon Musk, Robocab boleh membawa dua orang penumpang dengan ia tidak dilengkapi stereng ataupun pedal kawalan kerana mempunyai kemampuan swapandu sepenuhnya. Ruang kabin sekadar dilengkapi sebuah skrin sesentuh gergasi.

Pada ketika ini perisian FSD sepenuhnya akan diuji sepenuhnya di Texas dan California menggunakan Model 3, Model Y dan Cybertruck. Perkhidmatan Cybercab pula diramalkan akan ditawarkan sebelum 2027 menurut Musk dengan kos pembinaan kenderaan adalah sekitar $30,000 sebuah.

Rekaan Cybercab adalah mirip Model 3 di bahagian hadapan dengan bahagian belakang berkotak seakan Cybertruck di bahagian belakang. Lampu hadapan dan belakang menggunakan barisan LED memanjang. Pintu pula terbuka ke atas seperti sebuah kereta Lamborghini. Dalam demo yang diperlihatkan, pintu Robocab terbuka dengan sendiri apabila mengesan kehadiran penumpang.

Apabila tidak membawa penumpang, Cybercab akan dicas menggunakan sistem pengecasan nirwayar dengan bateri dicas secara induktif. Tiada demo bagaimana sistem ini beroperasi diperlihatkan. Yang diperlihatkan ialah sistem robotik yang membersihkan ruang dalaman teksi, membuang sampah dan membersihkan skrin sesentuh.

Maklumat lebih lanjut mengenai di mana Cybercab akan beroperasi masih belum didedahkan. Elon Musk sekadar menegaskan sekali lagi kemampuan swapandu yang sama akan diberikan pada kenderaan Tesla yang lain dengan pemilik kemudiannya boleh menjana pendapatan dengan menawarkan EV mereka kepada orang awam juga sebagai sebuah teksi.

