'Test of a king' kisah kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah kemudi negara

28 Jan 2024 • 7:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (dua dari kiri) berkenan membelek buku berjudul 'Test of A King' selepas melancarkan buku tersebut di Istana Negara pada Ahad. Foto Bernama

image is not available
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengimbas kod QR pada gimik pelancaran e-book bertajuk 'Test of A King' di Istana Negara pada Ahad. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Ahad berkenan melancarkan e-buku bertajuk Test of A King di Istana Negara di sini.

Acara ringkas yang berlangsung di Bilik Seri Setia itu menyaksikan Seri Paduka berkenan mengimbas Kod QR bagi membolehkan buku 66 muka surat tersebut dibaca melalui gajet telefon.

Buku itu berkisar tentang kebijaksanaan dan dedikasi baginda dalam mengharungi serta mengemudi negara melalui pelbagai cabaran selain ketidaktentuan politik.

Buku nukilan Penasihat Undang-Undang Yang di-Pertuan Agong, Datuk Abdul Rahman Putra Taha dan Penolong Pegawai Undang-Undang Istana Negara, Zulharry Abdul Rashid itu turut mempamerkan koleksi penulisan tiga pakar perundangan negara.

Antaranya bab satu bertajuk The Constitutional Position of His Majesty The Yang di-Pertuan Agong oleh pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif pula menghasilkan bab tiga bertajuk Appointment of PM8 to PMX.

Abdul Rahman berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira lapan bulan untuk menyiapkan e-buku itu dan bercadang menerbitkan buku bercetak selepas ini.

E-buku itu boleh diakses secara percuma di pautan https://drive.google.com/file/d/1mbAfAdIXzRylqciJ1qiHeLSyaLxmRPpi/view?usp=drivesdk - Bernama