
TAIPING - Gara-gara cemburu, seorang lelaki tergamak menetak isterinya hingga parah menggunakan parang dalam kejadian di tepi Jalan Kampung Dew dekat Simpang, Rabu lalu.
Dalam kejadian sekitar jam 7 petang itu, mangsa berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah di belakang badan, bahu dan tangan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk menerima rawatan dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
"Susulan maklumat yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping digerakkan bagi mengesan suspek yang berusia 25 tahun.
"Suspek yang memandu kereta berjaya ditahan di sekitar Taiping kira-kira lima jam kemudian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, motif kejadian berpunca daripada rasa cemburu kerana mengesyaki mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain.
"Suspek direman selama enam hari sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata," katanya.


