
Tetamu Pasti Puas Hati, Resipi Roche Cookies Ini 'Wajib' Cuba
Setiap kali menjelang Hari Raya, pastinya meja dipenuhi dengan pelbagai jenis kuih raya tradisional yang sudah sinonim seperti tart nanas, biskut suji dan semperit.
Walaupun kuih-kuih ini memang menjadi kegemaran ramai, ada kalanya kita juga mula terasa sedikit bosan apabila hidangan yang sama diulang setiap tahun.
Disebabkan itu, ramai yang kini mula mencari kelainan dengan mencuba resipi baharu untuk dihidangkan kepada keluarga dan tetamu.
Justeru, hari ini SK ingin kongsikan resipi "roche cookies" yang mudah dan sedap daripada pengguna @ariannakitchen di TikTok.
Bahan-bahan "roche cookies"
Menurut @ariannakitchen, antara bahan-bahan yang diperlukan untuk menyediakan hidangan ini ialah 120 gram mentega, 50 gram gula aising, satu kuning telur serta sedikit esen vanila bagi menambahkan aroma.
Selain itu, bahan kering yang digunakan terdiri daripada 100 gram tepung gandum, 75 gram tepung jagung dan 50 gram serbuk badam yang membantu menghasilkan tekstur biskut yang lebih rangup.

Sebagai pelengkap, sediakan juga kacang hazel yang akan digunakan bersama adunan biskut.
Untuk lapisan coklat pula, anda memerlukan kira-kira 200 gram coklat susu yang akan dicampur dengan badam yang telah disangai.
Cara-cara penyediaan "roche cookies"
Mula-mula, @ariannakitchen memasukkan mentega dan gula aising yang telah diayak ke dalam sebuah mangkuk.
Gaulkan kedua-dua bahan tersebut sehingga sebati dan teksturnya menjadi lembut.
Selepas itu, masukkan kuning telur bersama sedikit esen vanila, kemudian kacau lagi sehingga adunan benar-benar sebati.
Seterusnya, masukkan tepung gandum, tepung jagung, serbuk badam dan serbuk koko sedikit demi sedikit ke dalam adunan.
Gaulkan sehingga semua bahan bercampur rata dan membentuk doh yang lembut serta mudah dibentuk.
Ambil sedikit doh dan letakkan di atas tapak tangan, kemudian leperkan menjadi bentuk bulat.

Letakkan sebiji kacang hazelnut di bahagian tengah doh tersebut, tutup semula doh dan bulatkan dengan menggunakan tangan sehingga kemas.
Kemudian, susun biskut di atas dulang pembakar dan bakar di dalam ketuhar pada suhu 170 darjah Celsius selama kira-kira 30 minit atau sehingga biskut masak.
Setelah itu, keluarkan biskut dari ketuhar dan biarkan seketika sehingga sejuk.
Untuk menyediakan salutan coklat, cairkan coklat susu bersama sedikit minyak menggunakan teknik double boiler sehingga teksturnya menjadi cair dan licin.
Selepas coklat cair, masukkan badam yang telah disangai dan gaulkan sehingga sebati.
Akhir sekali, celupkan biskut yang telah dibakar tadi ke dalam campuran coklat tersebut, kemudian letakkan setiap biskut ke dalam cawan kertas kecil.
Baca juga: