
KUALA LUMPUR – Gelaran Datuk mungkin menambah satu lagi penghormatan pada nama Ziana Zain, namun jauh di sudut hatinya, penyanyi handalan itu tetap selesa menjadi Kak Gee yang sudah sekian lama dikenali ramai.
Kata penyanyi berusia 58 tahun itu, pengurniaan darjah kebesaran daripada Kerajaan Melaka, baru-baru ini, tidak mengubah siapa dirinya. Peminat atau sesiapa saja bebas memanggilnya dengan apa-apa gelaran asalkan mereka selesa.
“Mereka yang sudah biasa memanggil saya Kak Gee, teruskan. Lagipun, mereka kenal saya sebelum dikurniakan gelaran Datuk.
“Cuma, untuk majlis tertentu, gelaran itu diperlukan. Selain daripada itu, saya tetap orang yang sama dan (gelaran Datuk) tidak berubah apa-apa pun,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Sooka & Vaganza di sini, petang semalam.
Ziana menafikan dakwaan kononnya pengurniaan darjah kebesaran itu dijadikan alasan untuk menaikkan kadar bayaran persembahan.
Sebaliknya, Ziana berkata, kadar bayaran yang ditetapkan masih sesuai dengan keadaan semasa selain mengambil kira pengalaman dan keperluan persembahan.
Tambahnya, gelaran yang diterima dan bayaran untuk persembahan adalah dua perkara berbeza.
“Seperti biasa, kadar bayaran ditentukan berdasarkan jumlah lagu yang dinyanyikan selain mengambil kira sama ada persembahan menggunakan minus one atau diiringi band.
“Tiada alasan untuk menaikkan kadar bayaran selepas mendapat gelaran Datuk. Cuma, harga akan diselaraskan mengikut peredaran masa.
“Contohnya, jika harga minyak naik, kita pun akan menaikkan sedikit kadar bayaran mengikut kesesuaian,” katanya.
Tambah Ziana, penganjur lazimnya sudah memahami kadar bayaran seseorang penyanyi dan persetujuan biasanya dicapai menerusi rundingan secara ‘menang-menang’.
Ziana berkata, kos persembahan ketika ini turut merangkumi khidmat pasukan profesional yang menguruskan penampilan dan imej artis termasuk penata gaya, jurusolek, penggaya hijab serta perunding imej.
“Sekarang ini, penataan gaya sudah menjadi satu kemestian kerana setiap kali muncul di khalayak, kita perlu memastikan penampilan sentiasa kemas dan bersesuaian.
“Dahulu, kita urus sendiri pakaian dan penampilan, tetapi sekarang kita memerlukan pasukan khusus yang tahu apa perlu dilakukan mengikut jenis acara dan suasana persembahan.
“Sama juga seperti syarikat produksi yang mempunyai pasukan jurutera bunyi, pencahayaan dan sebagainya. Setiap seorang mempunyai tugas serta kepakaran tersendiri.
“Perkara sama turut berlaku kepada penyanyi kerana permintaan terhadap penampilan lebih sempurna sudah menjadi sebahagian daripada tuntutan industri hari ini,” katanya.
Pada 24 Ogos lalu, Ziana yang juga anak kelahiran Merlimau menerima anugerah Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr. Mohd Ali Mohd Rustam. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tetap orang yang sama, tiada alasan naikkan bayaran’ appeared first on Kosmo Online.
