Tetap sambut Tahun Baharu Cina walaupun sudah masuk Islam

LocalFamily & Parenting
31 Jan 2025 • 11:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Muhammad Ridhuan (belakang, lima kanan) tidak pernah ketinggalan menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga setiap tahun.

SEREMBAN - Biarpun sudah lebih 20 tahun menganut agama Islam, Muhammad Ridhuan Lau Abdullah tidak pernah lupa menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarganya setiap tahun.

Malah ia diraikan dalam suasana meriah bersama ibu serta lima adik-beradiknya di Port Dickson sama seperti dia menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Peniaga restoran makanan Cina Muslim berusia 45 tahun itu berkata, anak-anaknya yang paling teruja kerana dapat menyambut dua perayaan setiap tahun.

“Sejak memeluk Islam pada 2001, saya tidak pernah ketinggalan menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga, malah turut membuat persiapan membeli pakaian baharu.

“Biasanya pada pagi Tahun Baharu Cina, kami enam beradik akan berkumpul di rumah abang di Port Dickson dan emak akan masak makanan halal, khas untuk saya sekeluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, dia sekali pun tidak pernah rasa terpinggir dan terus mengamalkan tradisi dan budaya kaum Cina selagi tidak melanggar hukum syarak.

Ujarnya, apa yang penting dia mahu menunjukkan kepada ibunya yang agama Islam tidak pernah memutuskan hubungan kekeluargaan.

“Masa mula-mula saya memeluk Islam, ibu risau sekiranya saya akan terus tinggalkan dia, tapi saya buktikan ia tidak berlaku malah rasanya hubungan kami semakin akrab.

“Adik-beradik juga sangat menghormati saya sebagai Muslim. Kalau bukan Tahun Baharu Cina pun kami selalu berkumpul untuk eratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Ujarnya, pada tahun 2004, dia bertemu jodoh dengan isterinya yang juga seorang mualaf.

Pasangan itu dikurniakan enam cahaya mata berusia lima tahun hingga 19 tahun.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved