Tetikus Ini Mempunyai Roda Skrol Mendatar

TechnologyDigital
13 Jul 2026 • 3:09 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Tetikus dengan roda skrol pertama ialah Mouse Systems ProAgio yang dilancarkan pada tahun 1995. Sejak daripada rekaan pertama lagi, roda skrol ini dipasang menegak pada semua tetikus. Tetapi ada yang merasakan roda skrol menegak sukar dikawal untuk melakukan pergerakan lebih jitu. Oleh itu Rotary Mouse dibangunkan oleh Airra Lab.

Image from: Tetikus Ini Mempunyai Roda Skrol Mendatar

Roda skrol pada Rotary Mouse diletakkan mendatar di bahagian atas tetikus. Menurut pencipta Rotary Mouse, dengan rekaan ini kawalan skrol lebih jitu boleh dilakukan serta mengurangkan kesakitan pada jari jika perlu melakukan banyak aksi skrol semasa digunakan. Tambahan lagi proses memutarkan roda tetikus adalah sehingga 2.5x lebih pantas menurut Airra Lab.

Kerana ia berbentuk roda mendatar, ia turut serasi digunakan oleh mereka yang melakukan suntingan video. Perisian untuk Rotary Mouse menyokong mod skrol dalam aplikasi suntingan video popular seperti DaVinci Resolve, Adobe Premiere dan Final Cut Pro. Selain itu ia juga boleh digunakan sebagai stereng kereta dalam permainan video memandu.

Sambungan adalah menggunakan isyarat frekuensi radio 2.4 GHz. Hanya satu bateri AAA diperlukan untuk beroperasi. Tetikus boleh digunakan dengan peranti Windows, macOS, Linux dan Android. Rotary Mouse ditawarkan dalam versi tetikus mendatar dan juga menegak dalam laman biayasama Kickstarter pada harga bermula $89 (~RM 363) sebuah.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved