Tewaskan Lubnan, Harimau Malaya Juara Pestabola Merdeka Selepas 11 Tahun

LocalFootball
9 Sep 2024 • 10:10 AM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Malaysia akhirnya menjulang semula trofi Pestabola Merdeka setelah 11 tahun apabila berjaya menewaskan Lubnan 1-0 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

image is not available

Foto: Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Menurut laporan Berita Harian, kemenangan ke atas pasukan ranking 11 dunia itu menjadi detik manis buat jurulatih skuad negara, Pau Marti Vicente apabila menjulang trofi pertama selepas dua aksi mengendalikan skuad Harimau Malaya.

image is not available

Foto: Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Kejayaan itu juga dapat menebus kekecewaan Harimau Malaysia selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di perlawanan akhir tahun lalu, di mana Vicente merupakan penolong kepada bekas pengendali skuad negara, Kim Pan Gon.

Harimau Malaya muncul sebagai juara Pestabola Merdeka kali terakhir pada 2013 yang disertai oleh skuad bawah 23 tahun (B-23) dengan Malaysia menewaskan Myanmar 2-0 di peringkat akhir.

Pada aksi malam tadi, enam perubahan dalam kesebelasan utama telah dilakukan oleh skuad bola sepak Malaysia berbanding perlawanan berdepan Filipina, Rabu lalu dilihat tampil dengan corak permainan lebih kemas dan menguasi permainan selain banyak melakukan asakan ke kubu lawan.

Kemasukan bintang muda sensasi, Arif Aiman Hanapi pada babak kedua berjaya menambah saingan di bahagian serangan dengan cubaan jaringan kedua Harimau Malaya pada minit ke-52, namun rembatannya diselamatkan Khalil Khamis dari pihak lawan.

Nasib kurang baik buat Lubnan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Khalil dilayangkan kad merah pada minit ke-78 permainan.

Walau bagaimanapun, Harimau Malaya tidak berjaya menambah jaringan, sekali gus menjadikan gol tunggal Morales sebagai mata kemenangan buat Malaysia.

image is not available

Foto: Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

Ia kemenangan kedua berturut-turut diraih skuad Vicente selepas menewaskan Filipina 2-1 seterusnya menambah jumlah mata Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sumber: Berita Harian (Zulfaizan Mansor dan Syafiq Aznan)