Tewaskan Nama Besar Di AIM23, Ziha Salleh Tak Sangka Lagunya Mendapat Pengiktirafan

Music
14 Sep 2022 • 4:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ziha Salleh cemerlang menerusi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik. - Gambar oleh Helmi Anuar (Menggunakan Iphone 13 Pro)

Penyanyi dan pelakon kelahiran Akademi Fantasia iaitu Ziha Salleh mengakui terkejut di atas kemenangannya di Anugerah Industri Muzik Ke-23 (AIM23) menerusi kategori Lagu Pop Etnik Terbaik

Lagu Ziha yang berjudul 'Adat Kasih' ciptaan Aubrey Suwito dan lirik oleh Tinta telah menewaskan empat lagi lagu dari barisan penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza ('Anakanda'), Noraniza Idris & Bunga ('Intan Payung'), Wany Hasrita & Datuk Jamal Abdillah ('Kucuma'), serta Wany Shaz & Wany Hasrita ('Sang Purnama').

image is not available
Ziha bukan saja merangkul anugerah Lagu Pop Etnik Terbaik, malah turut membawa pulang trofi kategori Kulit Album Terbaik. - Gambar oleh Helmi Anuar (Menggunakan Iphone 13 Pro)

Menurut Ziha atau nama sebenarnya Nor Aziha Mohd Salleh, 28, dia bersyukur kerana ‘comeback’ yang dilakukannya selepas tujuh tahun nyata membuahkan hasil. 

“Saya sebenarnya tak sangka lagu saya akan berada di dalam kategori yang sama dengan penyanyi-penyanyi popular. Mereka sangat berbakat dan bagus,” katanya ketika ditemui di sidang media.

Ditanya adakah dia sudah bersedia seandainya kemenangannya menjadi pertikaian netizen memandangkan lagunya kurang popular berbanding empat lagi lagu lain yang tercalon, kata Ziha sepanjang tujuh tahun berada di dalam industri, dia sudah terbiasa dengan situasi ini.

“Memang tidak dinafikan lagu-lagu mereka memang sedap. Waktu saya dengar lagu Bunga, saya cakap ini adalah lagu yang saya mahukan. 

“Bercakap soal netizen pula, sebenarnya saya nak dengar apa kata mereka. Kerana saya mahu tahu kenapa mereka berfikir seperti itu. 

“Mungkin ada yang saya ambil sebagai iktibar. Sekurang-kurangnya saya dapat belajar apa yang netizen mahukan. Mana yang baik kita teruskan, mana yang buruk saya tak akan ikut,” katanya. 

Jika penyanyi-penyanyi lain lebih gemar memilih genre pop sebagai taruhan, lain pula dengan Ziha yang memilih irama tradisional. Kata Ziha, irama tradisional memang sudah sebati dengan jiwanya. 

“Bapa saya pernah cakap, dia sukakan lagu-lagu tradisional dan suka saya nyanyikan lagu-lagu sebegitu. 

“Jiwa saya dengan lagu tradisional juga sudah sebati. Saya berasal dari Johor dan pernah bergelar penari zapin satu ketika dahulu. Jadi saya sangat rindukan suasana zapin. Bila saya buat lagu genre sebegini saya rasa inilah diri saya,” ujarnya.

Selain meraih anugerah Lagu Pop Etnik Terbaik, Ziha turut membawa pulang satu lagi trofi AIM pada malam itu menerusi kategori Kulit Album Terbaik. 

Tahniah diucapkan kepada Ziha Salleh di atas kemenangan di AIM23. Semoga Ziha terus berkarya dan memartabatkan irama tradisional tanah air. – Getaran, 14 September 2022 

View Original Article