Tex Cycle ambil alih syarikat pengkhususan pengurusan sisa industri pada harga RM55 juta
herman
13/06/2024 - 14:29
KUALA LUMPUR 13 Jun - Tex Cycle Technology (M) Berhad mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti Meridian World Sdn. Bhd. (Meridian World), syarikat pengurusan sisa industri yang bernilai RM 55 juta.
Menurut Tex Cycle, pengambilalihan Meridian World meningkatkan keupayaan Kumpulan dengan ketara terutamanya dalam pemprosesan kimia dan pengurusan air sisa.
"Tex Cycle kini boleh memenuhi keperluan industri yang lebih luas dengan menggabungkan penyelesaian pengurusan sisa inovatif Meridian.
"Peningkatan strategik ini bukan sahaja meluaskan keupayaan operasi Tex Cycle tetapi juga mengukuhkan kedudukan pasaran," katanya dalam kenyataan media hari ini yang turut memaklumkan pengambilalihan ini termasuk jaminan keuntungan RM12 juta untuk tahun kewangan 2024 (FY2024) dan FY2025.
Kata Tex Cycle, portfolio perkhidmatan Meridian termasuk kemudahan pemulihan sisa berjadual mereka dan teknologi kejuruteraan alam sekitar melengkapkan perkhidmatan pengurusan sisa Tex Cycle yang sedia ada.
"Penggabungan ini membolehkan Tex Cycle menawarkan rangkaian perkhidmatan yang lebih komprehensif, meliputi aspek pengurusan sisa dan alam sekitar yang lebih meluas," katanya.
Meridian World yang ditubuhkan pada 1995 terlibat dalam kawalan pencemaran sisa air dan udara, serta pengurusan sisa yang komprehensif.
Terkenal dengan pengkhususan pemprosesan kimia mereka, Meridian World mengendalikan kemudahan pemulihan sisa berjadual berlesen penuh yang mengendalikan segala-galanya daripada pengumpulan dan pengangkutan sisa kepada pemulihan besi buruk yang tercemar dengan minyak atau pelarut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tex Cycle, Gary Dass berkata, pemerolehan strategik Meridian World merupakan satu langkah yang meningkatkan keupayaan perkhidmatan dengan ketara merentasi spektrum pengurusan alam sekitar.

"Meridian World membawa kepada Tex Cycle kepakaran mendalam dalam pemprosesan bahan kimia dan pengurusan sisa terjadual, melengkapkan perkhidmatan teras kami dengan sempurna dan menyelaraskan dengan objektif kemampanan ini.
"Pemerolehan tersebut bukan sahaja meluaskan jangkauan operasi kami tetapi juga mengukuhkan komitmen kami untuk menyampaikan penyelesaian yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
"Saya yakin pengambialihan ini akan memacu nilai yang besar untuk pemegang kepentingan dan menyumbang secara positif kepada matlamat alam sekitar Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com


