Tex Cycle, Victory Recovery bekerjasama tingkatkan pengurusan sisa terjadual dan sisa elektronik

24/09/2025 - 09:21
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 24 Sept – Tex Cycle Technology (M) Berhad kini menjalin kerjasama dengan Victory Recovery Resources Sdn. Bhd untuk memanfaatkan kepakaran kedua-dua syarikat dalam meneroka peluang baharu pengurusan e-waste (sisa elektronik) dan sisa terjadual.
Kerjasama ini membolehkan kedua-dua syarikat memanfaatkan kod buangan terjadual masing-masing di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, meningkatkan kapasiti pengurusan sisa termasuk e-waste, minyak terpakai dan sisa logam tercemar.
Victory Recovery adalah syarikat yang menyediakan rumusan rawatan dan kitar semula sisa yang berpangkalan di Melaka.
Diasaskan oleh Datuk Ir. Dr. Joseph Heng Weng Long, syarikat itu sudah beroperasi lebih 20 tahun dan memegang 17 kod Sisa Terjadual, termasuk SW 110 untuk sisa elektrik dan elektronik.
Ketua Pegawai Eksekutif Gary Dass Anthony Francis berkata, kepakaran Victory Recovery akan melengkapkan kekuatan Tex Cycle dalam pematuhan alam sekitar, pemulihan tenaga boleh diperbaharui dan pengurusan aliran sisa khusus.
“Kerjasama ini menandakan langkah penting Tex Cycle untuk mengembangkan penyelesaian alam sekitar dan ekonomi pekeliling di Malaysia, khususnya dalam pengurusan e-waste,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Victory Recovery, Valarie Heng berkata, gabungan kepakaran dua syarikat itu membolehkan perkhidmatan lebih efektif dan menyampaikan nilai lebih kepada pihak berkepentingan.
Kerjasama itu bukti komitmen Tex Cycle dalam pertumbuhan mampan sektor pengurusan sisa Malaysia, dengan fokus pada pemulihan dan kitar semula sisa elektronik. - DagangNews.com
standard



