Texas Instruments labur RM14.6 bilion kembangkan operasi di KL dan Melaka

Business & Finance
13 Jun 2023 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Texas Instruments labur RM14.6 bilion kembangkan operasi di KL dan Melaka

zulfadli

13/06/2023 - 18:18

KUALA LUMPUR 13 Jun - Texas Instruments (TI) melabur sebanyak RM14.6 bilion untuk mengembangkan operasinya di Kuala Lumpur dan Melaka dengan pengeluaran di kedua-dua lokasi tersebut dijangka bermula seawal 2025.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pelaburan syarikat semikonduktor yang beribu pejabat di Amerika Syarikat berjumlah RM9.6 bilion di Kuala Lumpur itu akan mewujudkan 1,300 pekerjaan di peringkat tempatan manakala RM5 bilion yang akan dilaburkan di Melaka akan mewujudkan 500 pekerjaan tempatan.

"TI merancang untuk memperluas operasi pemasangan dan ujiannya bagi mencerminkan kedudukan Malaysia yang jelas dalam rantaian bekalan semikonduktor global selain melengkapi Dasar Pelaburan Baharu kita dan tumpuan Pelan Induk Perindustrian Baharu untuk menarik pelaburan berteknologi tinggi dan bernilai tinggi untuk menyokong ekonomi global dan domestik yang semakin digital," katanya menerusi catatan di laman Twitter hari ini.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan berasingan, pelaburan baharu ini akan menyokong pelan TI untuk membawa 90% daripada operasi pemasangan dan ujian dalaman menjelang 2030 untuk mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap bekalan.

Katanya, pengumuman mengenai perluasan itu mencerminkan usaha bersama TI, kerajaan Malaysia, terutamanya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri semikonduktor dan inisiatif yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan dan menggalakkan pertukaran pengetahuan, menyumbang kepada pembangunan negara secara keseluruhan.

Katanya, tempoh perluasan itu turut sejajar dengan strategi Malaysia yang luas untuk mengukuhkan ekosistem industri semikonduktor dan memacu pertumbuhan ekonomi.

image is not available
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Arham Abdul Rahman berkata, MIDA komited untuk menyokong pelan pengembangan TI, yang bukan sahaja akan membawa pelaburan yang besar tetapi juga meningkatkan keupayaan pembuatan analog dan pemprosesan kepada negara.

"Kerjasama ini mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka di rantau ini untuk inovasi semikonduktor," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Pemasangan dan Pengujian Pembuatan TI, Yogannaidu Sivanchalam berkata, pelaburan tersebut adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mengembangkan kapasiti pembuatan di peringkat dalaman bagi menyokong peningkatan keperluan semikonduktor selain jaminan terhadap bekalan secara lebih ketara.

"TI berbangga kerana telah beroperasi di Malaysia lebih daripada 50 tahun dan keputusan kami untuk mengembangkan aspek pemprosesan pembuatan ini hanya membuktikan kewujudan pekerja berbakat dan semakin besar di Malaysia yang turut menjadi teras bagi masa depan syarikat," katanya.

Menyentuh usaha pengembangan itu, MIDA berkata, TI juga baru-baru ini telah membeli bangunan bersebelahan kemudahan pemasangan dan pengujian sedia adanya di Kuala Lumpur.

Syarikat itu bercadang untuk mengubah kemudahan di atas sebidang tanah berkeluasan 7.28 hektar kepada kilang pemasangan dan pengujian dengan ruang bersih partikel halus terhad seluas lebih sejuta kaki persegi.

Pembinaannya dijangka dimulakan pada akhir tahun ini dan disusuli dengan pengeluaran seawal 2025, lapor Bernama.

MIDA berkata, TI juga dalam usaha membangunkan kilang pemasangan dan ujian baharu setinggi enam tingkat bersebelahan kilang pemasangan dan pengujiannya di Melaka yang turut dilengkapi ruang bersih seluas lebih 400,000 kaki persegi yang dihubungkan dengan kilang sedia ada.

Menurutnya, pengeluaran penuh melibatkan kilang-kilang serba canggih di Malaysia akan mengetengahkan kilang automasi maju bagi pemasangan dan pengujian beratus-ratus juta cip pemprosesan analog dan dimasukkan setiap hari dalam elektronik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui serta kenderaan elektrik.

"Di kedua-dua kilang tersebut, aspek kaedah pembinaan bertanggungjawab dari segi alam sekitar dipraktikkan yang menekankan reka bentuk cekap tenaga. Ini bagi memenuhi salah satu sistem penarafan bangunan bercirikan Kepimpinan Dalam Tenaga dan Reka Bentuk Alam Sekitar (LEED) iaitu tahap kecekapan struktur dan kemampanan tertinggi - LEED Gold.

"Selain itu, penggunaan peralatan maju dalam kilang terbabit akan mengurangkan sisa, air dan penggunaan tenaga bagi setiap cip, sekali gus membuktikan komitmen TI terhadap pembuatan bertanggungjawab serta mampan," katanya. - DagangNews.com