TF Value-Mart lancar TF Borong

Business & Finance
2 Nov 2026 • 3:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: TF Value-Mart lancar TF Borong
TF Value-Mart Batu Caves.
Image from: TF Value-Mart lancar TF Borong
Ho Mun Hao

TF Value-Mart baru-baru ini melancarkan TF Borong, perniagaan khusus dalam segmen perkhidmatan makanan dan borong menerusi cawangan di Batu Caves dan Taman Connaught.

Pelancaran itu menandakan fasa pertama peluasan operasi TF Borong ke 20 cawangan sedia ada TF Value-Mart menjelang akhir 2027 dengan sokongan perbelanjaan modal melebihi RM20 juta.

TF Borong menyediakan kemudahan kepada pengusaha perniagaan untuk mendapatkan pelbagai produk, daripada barangan keperluan harian hingga bahan ramuan premium.

Ia direka khusus bagi memenuhi keperluan restoran, kafe, syarikat katering, peruncit, pengusaha hospitaliti, penjaja, peniaga makanan jalanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mahukan pengalaman pembelian lebih cekap dan mudah.

Menerusi inisiatif itu, pelanggan boleh mendapatkan lebih 2,000 produk baharu untuk perkhidmatan makanan, merangkumi barangan asas dapur, bekalan segar dan keperluan operasi, selain produk import seperti udang kara, ketam salji serta daging lembu premium daripada baka Angus dan Wagyu, tertakluk kepada ketersediaan stok.

Setiap cawangan TF Borong turut menyediakan khidmat tukang daging khusus yang menawarkan potongan daging lembu mengikut spesifikasi pelanggan perniagaan, termasuk dari segi saiz hidangan dan proses membuang lebihan lemak.

Ketua Pegawai Eksekutif TF Value-Mart, Ho Mun Hao berkata, penawaran harga kompetitif, pembungkusan pukal, perkhidmatan berorientasikan perniagaan serta sokongan pelanggan dirangka bagi membantu pengusaha memudahkan urusan mendapatkan bekalan dan membuat pembelian.

**media[3697308]**

Menurutnya, perkhidmatan makanan merupakan antara segmen paling berdaya tahan dalam ekonomi pengguna Malaysia, justeru pengusaha yang menggerakkan sektor itu daripada penjaja hingga dapur hotel, wajar mendapat sokongan pembekal yang memahami keperluan perniagaan mereka.

“TF Borong menggabungkan rangkaian kedai, skala pembelian dan kepakaran perkhidmatan penyediaan daging dalaman kami bagi menyokong perniagaan ini.

“Pelaburan kami melebihi RM20 juta dan perancangan untuk mencapai 20 cawangan menjelang akhir 2027 mencerminkan betapa seriusnya kami melihat peluang ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pasaran perkhidmatan makanan Malaysia menawarkan peluang komersial yang besar apabila GlobalData menganggarkan sektor keuntungan perkhidmatan makanan negara menjana pendapatan sebanyak RM100.9 bilion (AS$22 bilion) pada 2024.

Namun, meskipun permintaan kekal kukuh, pengusaha masih berdepan tekanan untuk mengawal kos, mengoptimumkan perolehan serta bertindak pantas terhadap perubahan permintaan pelanggan.

Sehubungan itu, TF Borong menawarkan kepelbagaian produk, harga kompetitif, kemudahan pembelian dan sokongan khusus bagi membantu memenuhi keperluan pengusaha dalam menguruskan perniagaan masing-masing.

Selepas pelancaran di Batu Caves dan Taman Connaught, cawangan TF Borong seterusnya disasarkan mula beroperasi pada 1 Disember 2026 sebagai sebahagian daripada pelan peluasan rangkaian perniagaan itu.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved