TFC sambung khidmat Argzim Redzovic

LocalFootball
9 Dec 2024 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
TFC mengesahkan menyambung kontrak pemain import, Argzim Redzovic (tiga dari kiri) hingga akhir musim Liga Malaysia 2024/2025. Foto fail Bernama

TEKA-TEKI mengenai status tonggak pertahanan Terengganu FC (TFC), Argzim Redzovic terjawab selepas pihak pengurusan mengesahkan menyambung kontrak pemain import itu hingga akhir musim Liga Malaysia 2024/2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB), Mohd Sabri Abas berkata, kontrak pemain kelahiran Montenegro yang tamat pada 30 November lepas disambung lima bulan lagi hingga April tahun depan.

Beliau berkata, selain Redzovic, TFCSB turut memperbaharui kontrak dua pemain tempatan iaitu pemain sayap, Nik Sharif Haseefy Mohd Lazim dan Mohammad Nor Hakim Hassan.

"Selepas perbincangan dan rundingan antara pihak pengurusan serta kejurulatihan, TFCSB mengambil keputusan menyambung kontrak Argzim Redzovic selama lima bulan lagi, hingga April depan.

"TFC masih memerlukan khidmat beliau (Redzovic) memandangkan kita telah melepaskan khidmat Matthew Steenvoorden, seorang lagi pertahanan import sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas Kongres Tahunan dan Pemilihan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sesi 2025-2028, di sini pada Isnin.

Mohd Sabri berkata, TFCSB tetap menaruh harapan agar Redzovic dapat bergelar pemain naturalisasi dan terus beraksi bersama TFC suatu hari nanti.

Menurut beliau,hingga kini pihaknya masih menunggu kelulusan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status pemain itu yang sudah enam tahun beraksi di Liga Malaysia (Liga-M).

"Walaupun tiada perkembangan positif, kita tetap menaruh harapan dan harap proses naturalisasi beliau (Redzovic) dapat direalisasikan," katanya.

Sementara itu, pada kongres hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim yang juga penyandang Presiden PBSNT sekali lagi dipilih memegang jawatan tersebut tanpa pertandingan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved