TH Dapat Kuota Tambahan 5,000 Tapi Tak Guna Sepenuhnya, Mengapa Ini Boleh Berlaku?

13 Jul 2022 • 2:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR - Arab Saudi hanya mengeluarkan visa mujamallah kepada jemaah haji Malaysia tahun ini, bukan visa furada sebagaimana ditawarkan kepada hampir 400 individu yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Julai lalu.

Presiden Persatuan Solidariti Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) Dr Fathir Badri Alhadad berkata, ini bermaksud agensi pelancongan yang mendapat visa mujamallah perlu mengeluarkan belanja lebih kerana mereka perlu mendapatkan pakej ‘ground’ melalui aplikasi disediakan Kementerian Haji Arab Saudi.

Katanya, pakej itu wajib diambil walaupun pihak agensi pelancongan telah mempunyai pakej ground mereka sendiri sebelum ini.

“Pihak Kedutaan Arab Saudi juga telah menghadkan pengeluaran visa mujamallah pada tahun ini kerana seperti kita semua sedia maklum, Arab Saudi perlu berhati-hati untuk mengelak penularan wabak COVID-19 semasa musim haji.

“Ada di antara ahli SAFTTA yang membawa jemaah haji menggunakan visa mujamallah pada musim haji kali ini. Dan nampaknya tiada sebarang masalah yang timbul setakat hari ini,” katanya kepada Getaran.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Lembaga Tabung Haji (TH) yang hanya memberikan kepercayaan kepada 22 syarikat untuk menyantuni jemaah bagi menunaikan ibadah haji.

Katanya, SAFTTA senada dengan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), menerusi cadangan agar setiap agensi pelancongan yang diberi kelulusan sebagai perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) diulang ganti setiap dua tahun sekali bagi mengekang amalan ‘kartel TH’.

“Apa yang mungkin dimaksudkan berkaitan kartel haji ini adalah ada beberapa agensi pelancongan yang dilihat tidak pernah ditukar semenjak PJH ini diperkenalkan. Adakah hanya 22 syarikat itu sahaja yang mempunyai kelayakan untuk menyantuni jemaah dan daripada jumlah itu berapa pula agaknya agensi pelancongan yang dimiliki agensi kerajaan (GLC)?

“Pastinya agensi pelancongan GLC ini mempunyai modal pusingan yang besar, sekali gus bersaing dengan usahawan pelancongan yang menggunakan modal sendiri. Mengapa perlu dihadkan kepada hanya 22 syarikat, sedangkan kita semua sedia maklum TH sendiri menyatakan tidak mampu untuk menguruskannya sendiri disebabkan kekangan tertentu,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar TH mengadakan perbincangan secara jujur dan terbuka bersama persatuan pelancongan untuk memberi pandangan bagi membantu mereka menambahbaik fungsi institusi tersebut.

Katanya, sebagai contoh pada tahun ini, kerajaan Arab Saudi memberikan kuota tambahan sebanyak 5,000 kepada Malaysia untuk diuruskan TH, tetapi jumlah itu tidak digunakan sepenuhnya.

“TH hanya menggunakan tidak lebih 2,500 sahaja daripada kuota tersebut. Mengapa perkara ini boleh berlaku? Sedangkan yang menunggu giliran untuk menunaikan haji adalah begitu ramai.

“Jika alasannya TH tidak bersedia dari segi logistik, kenapa tidak dibuka kepada lebih banyak agensi pelancongan untuk menguruskannya? Dengan cara ini mungkin keadaan seperti ‘tidak dapat visa’ tidak akan berlaku. Inilah kelemahan monopoli!,” tegasnya.

Pada masa sama, Fathir Badri berkata, SAFTTA turut bersetuju dengan kenyataan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) yang menyatakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tidak boleh dipersalahkan dalam isu haji tersebut.

Menurut beliau, ia jelas di bawah Akta Tabung Haji yang tidak meletakkan MOTAC sebagai kementerian bertanggung jawab, sebaliknya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu memikul tanggungjawab itu dengan sebaiknya.

“Perlu diingat sekarang bukanlah masanya ‘kerajaan yang tahu segalanya’ atau ‘government knows best’ seperti dahulu.

“Apa yang lebih penting pada masa ini adalah tidak menyalahkan antara satu sama lain, perlu adanya kesepakatan dalam menjalankan amanah yang diberikan,” katanya.

Malah Fathir Badri turut mengesyorkan kempen kesedaran berterusan perlu diberikan kepada bakal jemaah agar mereka tidak terpedaya dengan tawaran murah untuk mengerjakan haji menggunakan visa mujamallah mahupun furada.

“Agensi pelancongan yang mengambil kesempatan juga perlu diberikan hukuman maksimum supaya perkara sama tidak berulang lagi saban tahun.

“TH juga perlu memberikan lebih ruang kepada agensi pelancongan untuk menguruskan jemaah haji pada masa akan datang dan tidak hanya tertumpu kepada agensi pelancongan yang sama sahaja,” katanya.

 Baru-baru ini hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di KLIA selepas tidak dapat berlepas ke Jeddah, Arab Saudi bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Sehingga kini, 72 laporan polis berhubung ke penipuan pakej menunaikan ibadah haji di seluruh negara membabitkan tiga agensi pelancongan swasta dengan kerugian RM3.95 juta.

Pada masa sama, siasatan dijalankan pihak polis di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - Getaran, 13 Julai 2022