
MAKKAH: Pasukan Teknologi Maklumat Tabung Haji (TH) sedang giat memastikan infrastruktur teknologi maklumat (IT) tersedia dan dapat digunakan menjelang ketibaan 31,600 jemaah haji Malaysia secara berperingkat bermula 21 Mei ini.
Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumat musim haji 1444 Hijrah Shahidan Ishak berkata sebanyak 11 daripada keseluruhan 21 anggota menjadi petugas TH yang pertama tiba di sini pada 12 Mei lepas bagi memastikan perkakasan komputer, infrastruktur Internet dan talian selain aplikasi sistem utama berfungsi dengan baik bagi kegunaan 670 petugas dan jemaah di tiga sektor iaitu di Makkah, Madinah dan Jeddah.
Beliau berkata pihaknya juga perlu memastikan kestabilan talian bagi operasi masyair di Arafah, Mina dan Muzdalifah dengan mempelbagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk mengatasi masalah kesesakan talian.
“Dengan perkhidmatan sokongan teknikal ini, ia diharap membantu petugas perubatan dan kebajikan melaksanakan tugas dengan lancar dalam operasi musim haji kali ini,” katanya kepada pemberita di sini.
Menurutnya, pasukan teknologi maklumat juga berperanan memastikan kelancaran aplikasi sistem TH seperti e-Bimbingan Haji yang baru diperkenalkan tahun ini, untuk diakses jemaah haji ketika berada di Tanah Suci.
Aplikasi e-Bimbingan Haji ialah satu sistem pengurusan pembelajaran digital yang dibangunkan bagi membantu pengguna mempelajari ilmu berkaitan haji dengan lebih mudah secara dalam talian.
Shahidan berkata pada masa ini, lebih 50 peratus ketersediaan IT telah dilaksanakan.
Dalam pada itu, Pengurus Sistem TH Parizol Amran berkata beliau terlibat dalam 10 operasi teknologi maklumat sejak musim haji pada 1998.
Beliau berkata sistem teknologi maklumat TH sentiasa ditambah baik berpandukan maklum balas operasi tahun sebelumnya.
Sebagai contoh katanya, maklumat kesihatan kesemua bakal jemaah haji Malaysia kini boleh dipantau sebaik mereka menerima surat tawaran haji menerusi sistem maklumat kesihatan (SIHAT). -Bernama

