TH Plantations jangka ketidaktentuan ekonomi global beri kesan kepada permintaan minyak sawit

Business & Finance
28 Nov 2023 • 2:45 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

TH Plantations jangka ketidaktentuan ekonomi global beri kesan kepada permintaan minyak sawit

azan

28/11/2023 - 14:45

KUALA LUMPUR 28 Nov - TH Plantations Berhad menjangkakan ketidaktentuan ekonomi global memberi kesan kepada permintaan minyak sawit.

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, dasar monetari yang lebih ketat serta pengeluaran besar-besaran minyak sayuran selain pengurangan penggunaan minyak makan untuk tujuan biodisesel juga memberi kesan terhadap permintaan.

"Walaupun permintaan kurang memberangsangkan dan stok yang lebih tinggi di Malaysia, harga produk minyak sawit dijangka kekal stabil pada paras semasa sepanjang suku keempat tahun ini.

"Ia disokong penggunaan domestik yang kukuh di Malaysia dan Indonesia, serta kebimbangan cuaca kering di Brazil dan Indonesia," katanya.

Kumpulan itu bagaimanapun mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 22% kepada RM17.6 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM14.4 juta pada tahun lalu.

Hasil bagi suku ketiga meningkat kepada RM216.6 juta, berbanding RM213.3 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu disumbangkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi bagi buah tandan segar (FFB) walaupun purata harga realisasi produk dan pengeluaran sawit lebih rendah.

Pendapatan yang lebih baik pada suku ketiga juga disumbangkan oleh nilai saksama yang lebih tinggi bagi aset biologi berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Zainurin Mohamed Zain berkata, prestasi kumpulan akan terus dipacu oleh pengeluaran BTS dan pergerakan harga minyak makan dunia global.

"Kami akan terus mengambil semua langkah yang perlu untuk menambah baik asas-asas kumpulan termasuk mengoptimumkan inisiatif pengilangan, penyatuan, mekanisasi dan transformasinya di semua ladang dan kilangnya untuk mengukuhkan kecekapan keseluruhan dan pengurusan kos." katanya dalam satu kenyataan berasingan.- DagangNews.com