BESUT - Lembaga Tabung Haji (TH) terus memperkasakan pembangunan ummah menerusi peruntukan zakat wakalah berjumlah RM4.5 juta yang disalurkan bagi pembinaan dan naik taraf masjid serta surau di seluruh negara sejak tahun 2023.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, inisiatif di bawah Program Musolla TH itu mencerminkan komitmen berterusan institusi berkenaan dalam melunaskan tanggungjawab bagi pihak pendepositnya.
Menurut beliau, institusi masjid dan surau memainkan peranan yang sangat signifikan bukan sekadar tempat ibadat, malah sebagai pusat penyatuan masyarakat.
"Masjid dan surau merupakan medium utama dalam memperkasakan syiar Islam di sesuatu kawasan selain mengukuhkan ukhuwah sesama penduduk.
"Sehingga kini, sebanyak 11 buah masjid dan surau telah dibina melibatkan lapan negeri termasuk Sabah dan Sarawak menerusi program ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada majlis penyerahan Surau Al-Hajj di Taman Koperat Putera di sini pada Ahad.
Hadir sama, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Mengulas lanjut mengenai pembinaan surau berkenaan, Mustakim memberitahu, projek yang menelan belanja sebanyak RM500,000 itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 550 ahli kariah dan penduduk setempat.
**media[3509325]**
Ujarnya, kewujudan surau baharu itu akan memudahkan urusan ibadat harian memandangkan sebelum ini tiada kemudahan surau yang berdekatan di kawasan tersebut.
"Saya percaya surau ini akan memudahkan penduduk mengadakan majlis ilmu dan program kemasyarakatan yang dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.
"Bagi tahun 2025 pula, TH telah memperuntukkan RM1 juta bagi pembinaan dua buah surau lagi iaitu masing-masing RM500,000 di Terengganu dan Bario, Sarawak," jelasnya.
Dalam pada itu, Mustakim menegaskan TH akan terus komited melaksanakan lebih banyak program zakat yang memberikan impak tinggi kepada golongan sasaran.
"Kita mahu memastikan manfaat daripada setiap program yang dijalankan dapat dirasai sepenuhnya oleh ummah secara berterusan," katanya.
