Thailand bayar pampasan kepada rakyat Malaysia cedera dalam insiden bom Tak Bai

3 Jul 2026 • 11:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Thailand bayar pampasan kepada rakyat Malaysia cedera dalam insiden bom Tak Bai
Laporan Sinar Harian pada 29 Jun lalu berhubung insiden letupan bom di Tak Bai yang mencederakan dua rakyat Malaysia.

NARATHIWAT - Kerajaan Thailand pada Jumaat menyampaikan pampasan berjumlah 650,000 baht (kira-kira RM80,000) kepada seorang daripada dua rakyat Malaysia yang cedera dalam kejadian letupan bom di Daerah Tak Bai pada 29 Jun lepas.

Gabenor Narathiwat, Boonchuay Homyamyen berkata, Kerajaan Thailand amat kesal dengan kejadian yang menyebabkan kedua-dua rakyat Malaysia itu cedera dan memberi jaminan akan terus memperkukuh langkah keselamatan bagi melindungi penduduk serta pelancong.

'Semasa letupan saya tertidur dalam kereta'

"Kami tidak akan berdiam diri. Kerajaan Thailand komited memastikan keselamatan semua pihak dan akan terus berusaha memulihkan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke Thailand," katanya kepada pemberita di sini.

Boonchuay berkata, pampasan berkenaan disalurkan menerusi dana Kerajaan Thailand bagi membantu mangsa insiden berkaitan keselamatan, termasuk pampasan bagi kecederaan dan kerosakan harta benda.

Terdahulu, beliau menyampaikan cek pampasan itu kepada Muhammad Yusri Udin, dalam satu majlis di Pejabat Kastam Sungai Golok di sini.

Pada 29 Jun lepas, Muhammad Yusri, 38, dan Abdullah Syarapi Abd Rahman, 45, cedera selepas sebuah peranti letupan buatan sendiri (IED) yang disembunyikan di dalam pembetung jalan meletup berhampiran persimpangan Sapom di Daerah Tak Bai pada kira-kira pukul 11.40 pagi waktu tempatan.

Pihak berkuasa Thailand berkata kedua-dua rakyat Malaysia itu bukan sasaran serangan yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemberontak.

Susulan kejadian itu, seorang suspek berusia 40 tahun telah ditahan dan pasukan keselamatan Thailand melancarkan siasatan menyeluruh, termasuk menjalankan operasi pelupusan bahan letupan dan pemeriksaan forensik di lokasi kejadian. - Bernama 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved