Thailand Keluar Amaran Banjir Tahap Merah, Lebih 1,000 Pelancong Malaysia Masih Terperangkap Di Hatyai

LocalTravel
25 Nov 2025 • 3:40 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu

Pasukan penyelamat sukarela dari Malaysia kini berdepan kesukaran memasuki Hatyai dan Songkhla selepas Thailand mengeluarkan amaran banjir tahap merah.

Difahamkan, banjir yang semakin memburuk di selatan Thailand itu mencatat paras air sehingga 1.5 meter sekali gus menyukarkan proses menyelamat lebih 1,000 pelancong Malaysia yang masih terperangkap di sana.

Tentera Thailand mungkin tak benarkan pasukan bomba masuk ke kawasan bencana

Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, Leong Beng Tat berkata, keadaan kritikal di Hatyai dan Songkhla berkemungkinan menyebabkan pasukan tentera Thailand tidak membenarkan mereka memasuki kawasan bencana.

“Kami menerima lebih 1,000 panggilan kecemasan pagi ini. Jika kami dihalang masuk, saya benar-benar bimbang nasib mereka.

“Kami juga akan meminta bantuan Kedutaan Malaysia di Thailand untuk membantu melancarkan kemasukan kami,” katanya kepada Berita Harian.

Harap kerajaan Malaysia tampil hulur bantuan hantar pasukan penyelamat rasmi dengan segera

Leong turut berharap kerajaan Malaysia tampil menghulurkan bantuan segera dengan menghantar pasukan penyelamat rasmi bagi mempercepatkan proses membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas.

Ujarnya, banjir kali ini sudah berlarutan selama lima hari dan pasukan berada di lapangan sejak hari pertama kejadian.

“Dua lagi pasukan sukarela dari Malaysia kini dalam perjalanan ke kawasan bencana termasuk satu pasukan membawa bot penyelamat dan satu lagi membawa bekalan bantuan lain,” katanya.

Paras air sempat turun, tapi ada pelancong pilih untuk tidak pulang

Beng Tat berkata, paras air sempat surut pada hari ketiga banjir namun sebahagian pelancong Malaysia memilih untuk tidak pulang pada waktu itu.

Menurut Leong, bagaimanapun keadaan kembali meruncing dan laluan keluar kini tidak lagi selamat.

“Kami menerima banyak panggilan minta bantuan tetapi keadaan semasa mengehadkan pergerakan kami.

“Kami hanya berharap tentera Thailand memberi laluan dan kerjasama supaya proses menyelamat dapat dilakukan segera,” katanya.

Terdahulu, hujan lebat berterusan di selatan negara gajah putih itu menyebabkan banjir di beberapa kawasan termasuk Hatyai.

Bencana alam itu bukan hanya melumpuhkan Hatyai yang terkenal dengan kawasan pelancongan, malah menyebabkan lebih 1,000 pelancong Malaysia terperangkap.

Baca Artikel Berkaitan: Banjir Hatyai: Penyelamat Bingung, Rakyat Malaysia Enggan Diselamatkan Kerana Belum Waktu ‘Check-out’

View Original Article