Thailand perketat kawalan di Selatan selama 10 hari

9 Nov 2026 • 9:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Thailand perketat kawalan di Selatan selama 10 hari

NARATHIWAT (THAILAND): Pihak berkuasa Thailand memperketat kawalan keselamatan di seluruh wilayah Selatan Thai selama 10 hari bermula 6 hingga 15 November ini susulan amaran kemungkinan serangan kumpulan pemisah terhadap orang awam dan pasukan keselamatan.

Amaran itu dikeluarkan selepas Komando Polis Wilayah Sempadan Selatan mengesan pergerakan kumpulan berkenaan yang dipercayai sedang membuat persiapan melancarkan serangan di beberapa kawasan sasaran.

Susulan perkembangan itu, Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) mengarahkan semua unit bawahannya meningkatkan langkah pencegahan dan pemantauan ke tahap tertinggi sepanjang tempoh berkenaan.

Jurucakap ISOC 4 berkata, maklumat risikan menunjukkan terdapat arahan daripada pemimpin kumpulan pemisah untuk melancarkan serangan terhadap orang awam yang dikenal pasti bekerjasama dengan kerajaan.

Menurutnya, kumpulan berkenaan turut dipercayai merancang serangan hendap terhadap anggota keselamatan di pusat pemeriksaan dan sekatan jalan raya, selain melakukan pengeboman di laluan yang digunakan pasukan keselamatan.

“Jika sasaran pertama tidak berjaya dicapai, kumpulan pemisah berkenaan berkemungkinan bergabung tenaga untuk menyerang pangkalan operasi, unit perlindungan daerah kecil dan anggota pertahanan sukarela di kawasan terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Beliau berkata, semua anggota keselamatan diarahkan merancang penggunaan laluan utama dan alternatif dengan teliti sebelum memulakan pergerakan.

Katanya, pemeriksaan laluan dan rondaan perlu dilakukan lebih awal bagi mengesan sebarang ancaman, selain mengelakkan maklumat pergerakan pasukan keselamatan daripada bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab.

Pemantauan turut dipertingkatkan di semua laluan masuk dan keluar pusat operasi, termasuk kawasan sekitar pusat pemeriksaan, sekatan jalan raya serta pangkalan operasi.

Dalam perkembangan sama, risikan polis dan ISOC 4 mengesan pemimpin serta unit operasi kumpulan pemisah dipercayai mula memindahkan senjata dan peralatan ke kawasan sasaran sebagai persediaan melakukan serangan terhadap pegawai kerajaan.

“Jabatan logistik kumpulan pemisah dipercayai mengangkut senjata secara rahsia bagi melancarkan serangan yang bertujuan menjejaskan kredibiliti kawalan kerajaan.

“Sehubungan itu, semua unit perlu mematuhi langkah keselamatan ketat, termasuk melaksanakan pemeriksaan rapi di setiap sekatan jalan raya,” katanya. – UTUSAN

The post Thailand perketat kawalan di Selatan selama 10 hari appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved