
KUALA LUMPUR – Thailand menolak permintaan Kemboja untuk melibatkan pemerhati antarabangsa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee-GBC) dan menegaskan ia kekal sebagai mesyuarat dua hala.
Mesyuarat berkenaan pada awalnya dijadualkan berlangsung di Phnom Penh namun ditukar ke Malaysia mulai 4 hingga 7 Ogos ini.
Timbalan Menteri Pertahanan Jeneral Nattaphon Narkphanit, yang juga Pengarah Pusat Operasi Khas Situasi Sempadan Thailand-Kemboja, mengesahkan pertukaran lokasi pada Jumaat, sambil menyatakan peningkatan sentimen anti-Thailand di Kemboja sebagai faktor, lapor Bangkok Post.
Menurut Jeneral Nattaphon, kehadiran pemerhati berkecuali adalah tidak perlu memandangkan ia adalah mesyuarat dua hala, tidak seperti rundingan gencatan senjata sebelum ini yang melibatkan perantara luar.
Pertukaran lokasi berkenaan, kata Jeneral Nattaphon bukan kerana ketidakpercayaan, tetapi bagi memastikan keselamatan delegasi Thailand dan mengelakkan sebarang ketegangan.
“Kenyataan umum baru-baru ini oleh pegawai Kemboja boleh mencetuskan permusuhan. Tempat berkecuali seperti Malaysia adalah lebih sesuai.
"Kebimbangan keselamatan terhadap perwakilan kami adalah faktor utama dalam keputusan ini," katanya.
Kemboja menerima perubahan lokasi ini selepas rundingan diplomatik melalui atase tentera Thailand di Phnom Penh.
Jeneral Nattaphon turut menjelaskan jadual mesyuarat yang dilanjutkan selama tiga hari daripada sehari sebelum ini, menggambarkan agenda yang lebih luas.
Tambahan masa atau penangguhan juga, katanya mungkin dipertimbangkan jika kemajuan tidak dicapai, demi melindungi kepentingan negara.
Meskipun enggan mendedahkan matlamat sebenar rundingan tersebut, Jeneral Nattaphon berkata perbincangan itu bertujuan untuk mengelakkan ketegangan daripada terus meningkat.
Beliau juga enggan mengesahkan sama ada kawasan kuil Ta Kwai yang dipertikaikan akan dibincangkan, dengan alasan keperluan untuk berhemah.
Terdahulu jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Leftenan Jeneral Maly Socheata, berkata Menteri Pertahanan Jeneral Tea Seiha telah mencadangkan agar Malaysia, Amerika Syarikat dan China hadir sebagai pemerhati ke mesyuarat GBC, memandangkan penglibatan mereka dalam rundingan gencatan senjata pada 28 Julai lalu.
“Kami benar-benar berharap mesyuarat ini akan berlangsung secara konstruktif dan membuahkan hasil,” tambah Leftenan Jeneral Maly. - 2 Ogos, 2025
The post Thailand tolak kehadiran pemerhati pada mesyuarat GBC Thailand-Kemboja di Malaysia appeared first on Scoop.


