
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat Korea Selatan susulan lebih 150 orang terbunuh dalam rempuhan di daerah Itaewon, Seoul.
“Saya amat sedih apabila mengetahui kejadian rempuhan Halloween di daerah Itaewon pada 29 Okt di Seoul, yang mengakibatkan banyak nyawa terkorban, termasuk seorang warga Thailand.
“Bagi pihak Kerajaan Diraja Thai dan rakyat Thailand, saya mengucapkan takziah kepada anda, dan melalui anda kepada rakyat Republik Korea dan keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi ini. Kami mendoakan mereka yang cedera segera pulih,” katanya dalam kenyataan.
Prayuth berkata beliau yakin di bawah kepimpinan dan penyeliaan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol, keadaan akan kembali seperti biasa.
“Kami di Thailand nyatakan solidariti dengan Republik Korea pada masa yang sukar ini,“ katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Don Pramudwinai turut menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawatannya, Park Jin.
“Ketika Republik Korea melalui tempoh berkabung, kami menghulurkan sokongan kepada Republik Korea dan rakyatnya dalam mengatasi detik sukar ini,” katanya.
Lebih 150 orang terbunuh dalam rempuhan maut semasa sambutan Halloween di daerah Itaewon, Seoul pada 29 Okt.
Seorang pelajar Thailand berusia 27 tahun yang pergi ke Korea Selatan untuk belajar bahasa Korea adalah antara 154 orang yang terbunuh pada Sabtu.-Bernama


