
KUALA LUMPUR – Ada luka yang tidak pernah hilang daripada hati seorang ibu. Walaupun anak yang disayangi sudah pergi buat selamanya, ingatan terhadap insan-insan yang pernah hadir dalam kehidupan anaknya tetap disimpan rapi. Itulah yang membuatkan ramai sebak apabila membaca satu perbualan ringkas antara seorang guru dan ibu kepada bekas pelajarnya ini.
Sebuah perkongsian ringkas di Threads oleh pengguna akaun @myymaslina telah meruntun hati ramai apabila memaparkan perbualan WhatsApp antara seorang guru dan ibu kepada bekas pelajarnya yang telah meninggal dunia.
Menerusi caption yang ditulis, pemilik akaun itu berkata:
“Bukan hadiah, cuma ucapan Hari Guru daripada seorang ibu kepada guru yang pernah mengajar anaknya.”
Dalam tangkap layar dikongsikan, ibu kepada pelajar tersebut memulakan perbualan dengan memperkenalkan dirinya sebagai emak kepada Tharshini.
Guru berkenaan kemudian bertanya:
“Tharshini dulu kelas mana?
cikgu nak recall..”
Namun jawapan balas daripada si ibu benar-benar menyentuh hati ramai.
“Tharshini sudah meninggal cikgu 2024, Tingkatan 5”
Ayat ringkas itu membuatkan ramai netizen mengakui mereka tidak bersedia membaca pengakhiran perbualan tersebut, malah ada yang terus sebak kerana membayangkan perasaan seorang ibu yang masih mengingati guru-guru anaknya walaupun anak itu sudah tiada.
Bekas Guru Hanya Mengetahui Selepas Dua Tahun
Menurut pemilik akaun Threads itu lagi, ibu pelajar tersebut menghubunginya sempena Hari Guru walaupun anaknya sudah tiada.
“Maknya mesej saya untuk ucapkan Hari Guru, saya dah pindah sekolah lain. Lepas dua tahun baru tahu anak murid dah meninggal dunia.
“Bekas-bekas guru yang mengajar Tharshini juga dapat mesej daripada ibunya,” jelasnya.
Perkongsian itu turut dihujani pelbagai komen netizen yang tersentuh dengan kasih sayang seorang ibu terhadap guru-guru anaknya.
Ada yang berpendapat mendiang Tharshini pasti sering bercerita perkara baik mengenai guru-gurunya kepada si ibu ketika masih hidup, sehingga wanita itu masih menghargai jasa mereka hingga ke hari ini.
Malah, tidak kurang juga yang mengakui mereka menitiskan air mata ketika membaca perkongsian berkenaan, lebih-lebih lagi apabila membayangkan betapa besarnya kasih seorang ibu yang tetap meneruskan penghargaan buat insan yang pernah hadir dalam kehidupan anaknya. – The Malaysian Update
The post “Tharshini Sudah Meninggal…” Ucapan Hari Guru Daripada Seorang Ibu Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.
