“The Asian Renaissance” Diterjemah Ke Bahasa Itali, Anwar Luah Rasa Terharu

LocalPolitics
3 Jul 2025 • 12:43 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

“The Asian Renaissance” Diterjemah Ke Bahasa Itali, Anwar Luah Rasa Terharu

Lebih dua dekad diterbitkan, karya tulisan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertajuk “The Asian Renaissance” telah diterjemah ke dalam bahasa Itali.

Dalam satu kenyataan di Facebook semalam, Anwar meluahkan rasa terharu apabila buku tersebut mendapat perhatian penerbit buku di sana.

“Saya terharu dengan penterjemah, Andrea Fais dan penerbit, Stefano Bonilauri yang memilih untuk menterjemah karya “The Asian Renaissance” ke dalam bahasa Itali,” katanya.

Tambahnya lagi, karya tersebut menggariskan gagasan besar mengenai kebangkitan semula tamadun Asia melalui nilai-nilai imu, budaya, keterbukaan dan keadilan sebagai tindak balas terhadap ketidakseimbangan global dan dominasi wacana Barat.

“Saya amat menghargai dedikasi sarjana Itali dalam menterjemahkan karya ini, yang membolehkan idea-idea besar tentang demokrasi dan pembangunan berteraskan nilai dapat dikongsi dan difahami lebih meluas oleh khalayak antarabangsa.

“Usaha ini bukan sekadar kerja penterjemahan, tetapi merupakan jambatan pemikiran dan idea merapatkan jurang kefahaman Timur dan Barat terutama dalam lanskap dunia yang berpecah belah.

“Moga karya ini terus menjadi sumber inspirasi dalam usaha kita memperjuangkan kebangkitan semula nilai-nilai kemanusiaan, ilmu dan keadilan sejagat,” ujarnya lagi.

Beliau kini dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari di Itali.

Memetik laporan Bernama, Anwar juga berkesempatan untuk bertemu dengan komuniti Islam di sana pada Rabu.

Beliau telah bertemu Naib Presiden Persatuan Komuniti Islam Itali (COREIS), Imam Yahya Pallavicini dan Setiausaha Agung Pusat Kebudayaan Islam itali, Masjid Besar Rom Abdellah Redouane.

Anwar berkata pertemuan itu memberi ruang untuk mereka berbincang dan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh pembangunan ummah, termasuk menangani isu Islamofobia secara bijaksana dan berhemah.

“Saya tekankan komitmen Malaysia dalam memartabatkan Islam yang menekankan nilai kesederhanaan, toleransi dan keharmonian menerusi pendidikan, dakwah serta kerjasama antarabangsa dengan komuniti Islam di Itali,” katanya selepas pertemuan itu.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti Islam di Rom serta menyerahkan senaskhah al-Quran edisi khas, selain 10 lagi naskhah terjemahan dalam bahasa Itali sebagai simbol persaudaraan dan penyebaran ilmu.