The Bad Guys 2

Movie
14 Aug 2025 • 9:30 AM MYT
Rasfan Abu Bakar
Rasfan Abu Bakar

Penulis merupakan pensyarah seni visual di ASWARA

image is not available
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt30017619/mediaviewer/rm1424077570/

Sekuel The Bad Guys telah kembali bersama edisi kali kedua dengan penuh bergaya. Studio DreamWorks Animation tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan sambungan dari siri pertamanya. Seperti biasa kumpulan ini terdiri daripada Wolf (Sam Rockwell), Snake (Marc Maron), Shark (Craig Robinson), Piranha (Anthony Ramos) dan Tarantula (Awkwafina) yang masih tampil bergaya dan penuh tenaga nakal.

Berikutan kekalahan Profesor Marmalade dan pembebasan mereka dari penjara, kumpulan The Bad Guys sedang berusaha untuk menyesuaikan diri dengan menjadi sebahagian daripada masyarakat. Mereka sentiasa pergi menghadiri sesi temuduga untuk mencari kerja baru tetapi tidak berjaya kerana masih dianggap jahat seperti sebelumnya. Dalam pada itu Wolf pula menghabiskan masanya dengan Diane dan mereka semakin rapat tetapi masih malu-malu kerana dia seorang bekas penjenayah dan Diane pula telah menjadi seorang gabenor.

Pada masa yang sama, bandar ini telah menjadi sasaran satu kumpulan penyamun yang begitu aktif melakukan rompakan dan dikenali sebagai Phantom Bandit. Kumpulan baru ini sering melakukan rompakan yang unik dan sukar untuk dikesan. Justeru itu The Bad Guys telah menawarkan diri untuk membantu pihak polis menyelesaikan masalah tersebut. Setelah melakukan kajian, mereka telah berjaya memecah kebuntuan dengan melihat kepada corak siri rompakan dan sekaligus tahu apakah rancangan rompakan yang seterusnya.

Image from: The Bad Guys 2
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt30017619/mediaviewer/rm2628825858/
Image from: The Bad Guys 2
Foto: IMDb https://www.imdb.com/title/tt30017619/mediaviewer/rm909294850/

Masa yang ditunggu telah tiba, mereka semua telah mengatur langkah menuju ke satu kejohanan gusti iaitu "Lords of Lucha". Misi mereka adalah menawan kumpulan Phantom Bandit serta mengagalkan cubaan mereka untuk mencuri tali pinggang kejohanan tersebut. Tetapi sebaliknya pula yang berlaku, kumpulan The Bad Guys telah diperangkap dan kini mereka pula menjadi buruan kerana dituduh mencuri tali pinggang yang berharga itu.

Kumpulan The Bad Guys yang sedang cuba untuk kembali ke pangkuan masyarakat, kini berdepan detik sukar disamping terpaksa mencari bukti untuk membebaskan diri dari dituduh sebagai pencuri. Bagaimanakah kesudahanya?

Filem The Bad Guys 2 tetap tampil dengan pelbagai aksi lucu yang tidak membosankan. Semua watak yang ada dikembangkan dengan baik dan kreatif. Sungguhpun tema utamanya adalah mengenai rompakan, tetapi unsur percintaan yang romantik tetapi malu-malu tetap kuat melatari aspek penceritaan. Warna-warna panas seperti oren dan kuning serta latar belakang yang ringkas membuatkan filem ini kekal sebagai satu signature yang asli.

Bagi mereka yang telah menonton filem The Bad Guys yang pertama, jangan lupa untuk mengikuti sambunganya di edisi yang kedua kerana aksi-aksi selamba kumpulan perompak yang sudah bertaubat ini tetap memikat dan melucukan.

Penulis merupakan pensyarah kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). rasfan@aswara.edu.my


Rasfan Abu Bakar (rasfan@aswara.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.