
Rakyat Malaysia memang gemar meluangkan masa ke pusat beli-belah berbanding aktiviti rekreasi lain. Dek itulah, pusat beli-belah di negara ini sentiasa berlumba-lumba membawakan sesuatu yang istimewa untuk mengumpan kehadiran pengunjung.
September ini, pusat beli-belah The Curve menjanjikan sebuah pengalaman yang tiada seumpamanya, dengan memperkenalkan 'Slide the Curve', iaitu gelongsor air dalam pusat beli-belah yang pertama di Malaysia.
Tarikan unik ini dipersembahkan sempena meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-20, dan menjanjikan keseronokan untuk semua pengunjung.

Bermula 3 hingga 22 September, The Curve akan ditransformasikan menjadi sebuah taman permainan yang meriangkan, menggabungkan keseronokan ‘slip-n-slide’ gergasi dengan kemeriahan pusat beli-belah.
Sepanjang tempoh 20 hari, The Curve bakal dipenuhi dengan suasana ceria dan semangat kemasyarakatan dalam kemuncak sambutan besar-besaran ulang tahunnya yang ke-20.
Acara ini tiba tepat pada masanya kerana selain terdapat cuti sekolah selama seminggu, ia juga boleh dianggap sebagai acara untuk mendekatkan masyarakat berbilang bangsa sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

Dari jam 10 pagi hingga 10 malam, para pengunjung The Curve boleh menikmati keseronokan ‘Slide the Curve’ setiap hari, yang dijangka akan menarik 10,000 pengunjung dan bakal menjadi destinasi penuh aksi di bulan September ini.
Bertemakan ‘Sun-Kissed Adventures’, pelbagai aktiviti menarik bakal disediakan untuk menghiburkan para pengunjung daripada semua peringkat umur.
Sama ada anda seorang kanak-kanak, remaja atau muda di hati, pastinya ada sesuatu yang menyeronokkan untuk anda nikmati, merangkumi gelongsor air yang mengujakan dan pelbagai program interaktif.

Tetapi sebelum itu, anda perlu tahu bahawa acara ini bukanlah percuma, sebaliknya anda perlu membayar RM48 untuk seorang dewasa pada hari-hari biasa atau RM53 pada hujung minggu.
Kanak-kanak pula dikenakan RM38 pada hari bekerja dan RM43 pada hujung minggu. Selain itu, terdapat juga beberapa pilihan pas lain untuk dipilih.
“Kami merasa teruja untuk meraikan ulang tahun ke-20 kami dengan acara revolusioner seumpamanya,” ulas Ketua Pegawai Operasi Boustead Properties Berhad di The Curve, Jazmi Kamarudin.
"Perbezaan yang dibawakan oleh ‘Slide the Curve’ bukan sahaja mencerminkan komitmen kami terhadap inovasi dan keseronokan, tetapi juga dedikasi kami untuk mengeratkan lagi komuniti setempat dengan sebuah acara yang sukar untuk dilupakan.
“Sejak dibuka dua dekad lalu, The Curve telah menjadi bukan sekadar sebuah destinasi beli-belah, malahan telah berkembang sebagai sebuah tempat berkumpul yang meriah bagi komuniti setempat,” tambahnya.
Untuk memeriahkan lagi acara tersebut, The Curve telah bekerjasama dengan pelbagai jenama hiburan dan gaya hidup terkemuka untuk membawakan tawaran eksklusif disesuaikan untuk setiap pengunjung.

Bagi memanfaatkan lagi musim cuti sekolah ini, mereka yang berkeluarga boleh mendapatkan kod promosi, menawarkan pengalaman menyeronokkan di SpyGame dan Hauntu, semuanya pada kadar diskaun untuk keriangan berterusan.
Untuk anda yang berada di luar Lembah Klang, dan mengimpikan percutian hujung minggu yang menyeronokkan, Hotel Royale Chulan turut menawarkan pakej cuti inap yang lengkap dengan kod promosi ‘Slide the Curve’, menawarkan percutian hujung minggu yang sempurna.
Bagi memastikan semua pengunjung berpeluang untuk menikmati pengalaman yang unik ini, The Curve akan menganjurkan acara cabutan bertuah ulang tahun ke-20 pusat beli-belah itu.
Pembeli yang berbelanja sekurang-kurangnya RM500 dalam sehingga dua resit akan layak menyertai cabutan bertuah hebat, dengan peluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM150,000, termasuk sebuah kereta.
Selain itu, mereka yang membelanjakan RM250 dan ke atas boleh menebus barangan edisi terhad sempena ulang tahun ke-20 The Curve.
Untuk tiket dan butiran lanjut mengenai ‘Slide the Curve’, klik pautan di sini! Untuk mengetahui lebih lanjut tentang acara akan datang di the Curve, sila layari laman web di www.thecurve.com.my atau ikuti laman sosial di Facebook dan Instagram. – Getaran, 22 Ogos, 2024



