
SANGAT bahagia melihat bagaimana sebuah kawasan perumahan saling akrab, kenal satu sama lain dan paling penting gotong-royong mengadakan pesta bersama-sama. Mereka yang tinggal sepanjang jalan Oak Street masih mempunyai kesedaran betapa pentingnya untuk mengadakan sebuah acara komuniti fizikal seperti selayaknya pada era 80-an. Greg mempunyai keluarga yang dianggap bertuah, orang di perumahan itu selalu memuji bagaimana lelaki itu berjaya menjadikan keluarga mereka harmoni dan dicemburui orang lain.
Filem The End of Oak Street (TEOOS) menjadi filem bajet paling tinggi David Robert Mitchell berkat kepercayaan Warner Bros. Pictures. Studio gergasi itu pasti melihat potensi David lebih-lebih lagi menerusi reputasi cemerlangnya dalam It Follows (2014). Dikenali sebagai pengarah supernatural horror, David dilihat beralih kepada si-fi dan pengembaraan dalam The End of Oak Street.
Ceritanya tentang bagaimana sebuah perumahan, Oak Street, boleh merentas masa, berpindah ke era dinosaur masih hidup. Keluarga Greg (Ewan McGregor) perlu bertahan hidup melawan dinosaur selain memikirkan jalan keluar daripada sumpahan ini.
Seperti yang saya katakan, filem ini dibuka dengan acara perumahan yang bahagia. Sebelum kemudian kita tahu keluarga Greg yang dikagumi ramai itu tidaklah sempurna mana apabila selalu bertengkar, manakala isterinya, Denise (Anne Hathaway) mempunyai angan-angan lari meninggalkan keluarga dan hidup di kota. Semua itu dituliskan diam-diam, dalam novel yang ditaip setiap malam di bilik bawah tanah.

Saya melihat TEOOS adalah sebuah filem yang menunjukkan bagaimana sebuah kolektif dibentuk pada era 80-an terutama bagi penduduk Oak Street. Mereka rasa saling memiliki, berkongsi banyak perkara sama. Namun selepas mereka tiba-tiba dipindahkan ke zaman dinosaur, kita mula nampak bahawa kolektif yang ada sebenarnya goyah.
Ketika dinosaur mula membaham satu demi satu penduduk, kita mula melihat bagaimana dinamik kolektif ini runtuh dan berubah menjadi pengunduran sosial atau social withdrawal. Mereka lebih banyak berkurung di rumah, gagal berkomunikasi kerana tiada elektrik dan takut keluar untuk bertanya khabar jiran. Mereka mula kehilangan rasa selamat, berpecah, hilang harapan seperti mereka membiarkan jirannya dimakan dinosaur burung atas atap.

Bagaimanapun, situasi ini semakin mengeratkan keluarga Greg terutama hubungannya dengan isteri ketika tahu mereka sedang melawan musuh yang sama. David dilihat berjaya menggabungkan pengalamannya dalam beberapa filem supernatural sebelum ini untuk menghasilkan adegan ‘jumpscare’ yang menjadi antara manusia dan dinosaur.
Bagaimanapun, saya harus bersikap jujur dengan mengatakan jalan ceritanya mempunyai banyak kekurangan terutama dari aspek sebab dan akibat. Sampai ke akhir filem pun kita tidak tahu mengapa perumahan itu yang kena? Apa silap mereka? Apa justifikasinya? Tidak mungkin hanya ‘urusan alam’. Sekiranya begitu sahaja sebabnya, filem ini hanya ada idea, tapi ia superficial.
Kenapa pula era 80-an? Apa jadi ketika itu? Adakah sekadar untuk visual cantik sahaja?.

Ada beberapa perkara yang tidak penting, seperti tiba-tiba pembuli mahu bergaduh dan juga kisah cinta antara anak Greg, Audrey dengan seorang teman di perumahan. Macam tiba-tiba sahaja dan tidaklah penting mana sumbangannya terhadap pembinaan plot. Kalau watak itu disingkirkan sekalipun filem ini tetap akan berjalan baik.
Saya juga sangat menyampah dengan karakter Audrey dan Brian, dua orang anak yang sembrono dan dialognya asyik berulang ‘apa kita nak buat, mak’ ‘adakah kita akan mati’ dan sikitpun tidak rasa mahu menyelamatkan keluarga bersama-sama.
Saya tidak tahu adakah David sengaja melakukan itu? Adakah dia mahu mewujudkan karakter begitu untuk menunjukkan ibu ayah yang berusaha keras, akan melahirkan generasi seterusnya yang tak pernah mahu susah sehingga urusan nyawa sendiri pun berharap emak yang fikirkan.
Setelah membiarkan banyak orang mati untuk selamatkan keluarga sendiri, Denise mahu menyuci dosa dengan cubaan menyelamatkan warga perumahan pada malam terakhir sebelum sumpahan, dia kembali ke era 80-an.
TEOOS filem yang sekadar okey, bukanlah sebuah filem dinosaur yang akan saya ingati selepas keluar dari panggung.
The post The End of Oak Street: Runtuhnya sebuah kolektif appeared first on Utusan Malaysia.
