The Flash

Movie
29 Jun 2023 • 12:30 PM MYT
Rasfan Abu Bakar
Rasfan Abu Bakar

Penulis merupakan pensyarah seni visual di ASWARA

Oleh: Rasfan Abu Bakar

Setelah bertahun-tahun tertangguh akibat pelbagai masalah, akhirnya filem The Flash berjaya muncul di panggung wayang. Watak Flash yang dilakonkan oleh Ezra Miller merupakan adiwira terakhir bagi era Snyder Verse yang kini telah digantikan dengan James Gunn dan Peter Safran.

Filem The Flash masih lagi berwajah DCEU, sama seperti filemnya yang lain. Sungguhpun demikian secara keseluruhanya filem ini masih dianggap baik serta menghiburkan buat sesiapa sahaja yang menontonnya.

Image from: The Flash
Foto: MovieBloc

Kisah bermula di sebuah kedai kopi dimana Barry Allen singgah sebentar untuk membeli sarapan paginya. Ketika dia sedang menanti sarapanya, Alfred telah menelefonya untuk meminta bantuan. Justeru itu Barry Allen tanpa membuang masa terus menukar pakaiannya dan bergegas ke tempat kejadian.

Pada waktu yang sama Batman pula sedang mengejar sekumpulan penjenayah dan adegan kejar mengejar ini agak mendebarkan di mana Batman menggunakan motosikal uniknya untuk mengejar penjahat. Setelah beberapa ketika Batman hampir berjaya menewaskan kumpulan ini tetapi keadaan bertukar menjadi genting di sebabkan Batman pula hampir jatuh dari jambatan.

Dalam keadaan yang sukar ini, Wonder Woman telah tiba untuk memberikan bantuan. Setelah Wonder Woman berjaya menyelamatkan Batman, Flash pula tiba di tempat tersebut. Mereka bertiga saling bertanya khabar dan selepas itu  kesemua adiwira ini beredar untuk ke tempat yang lain pula.

Tetapi berbeza pula dengan Barry Allen, selepas berjumpa dengan rakan kolej, dia mengambil kesempatan untuk melawat semula rumah lamanya dan mengingati semula kisah silam bersama ibu dan bapanya. Tetapi dia tidak dapat membendung rasa sedihnya dan secara tidak sengaja Barry mula berlari sekuat hati menggunakan Speed Force. Dalam kelajuan itu dia berjaya merentasi masa dan sampai ke Chrono Bowl, satu tempat pertemuan semua multiverse.

Setelah itu Barry Allen bertemu dengan Bruce Wayne dan menceritakan apa yang berlaku. Barry Allen berkata dia ingin ke masa silam dan membetulkan keadaan dimana dia ingin menyelamatkan ibunya dari mati dibunuh. Bruce Wayne menasihatkan agar jangan melakukanya kerana ia akan mengubah masa hadapan dan dunia akan menjadi kucar kacir.

Tetapi Barry Allen berfikiran sebaliknya, dia mula berlari dan pergi ke masa silam. Disitu dia bertemu dengan dirinya sendiri ketika remaja dan mereka berdua mula saling mengenali dalam keadaan yang membigungkan. Tetapi keadaan menjadi lebih sukar apabila kuasanya berpindah ke Barry Allen versi muda akibat dipanah petir dan ini menjadikan dirinya ketiadaan super power.

Pada masa yang sama Jeneral Zod telah tiba ke bumi dan bumi versi ini pula ketiadaan adiwira seperti Superman, Aquaman, dan Wonder Woman. Tetapi nasibnya berubah kerana di bumi versi ini Batman masih lagi ada dan dia terus pergi berjumpanya dan menerangkan situasi yang sedang berlaku.

Bruce Wayne versi tua bersetuju untuk membantu dan misi utama mereka adalah untuk menjejaki satu objek angkasa yang pernah tiba ke bumi pada satu masa dahulu. Mereka percaya di dalamnya ada Superman dan ini boleh membantu mereka untuk berhadapan dengan Jeneral Zod. Misi tersebut membawa mereka ke Russia dan setelah menyusup masuk ke kubu tersebut, mereka bertemu dengan apa yang dicari. Tetapi keadaan berubah kerana apa yang ada disitu bukan Superman tetapi Supergirl.

Barry Allen terus membawa Supergirl keluar dan kemudianya mereka semua bertarung dengan askar-askar yang menjaga kubu tersebut. Setelah berjaya menewaskan askar-askar tersebut, mereka semua mula mengatur langkah untuk berhadapan dengan Jeneral Zod dan tenteranya pula.

Tetapi bukan semudah itu untuk menewaskan jeneral Zod kerana dia terlalu kuat dan akhirnya Supergirl serta Batman mati di tangan mereka. Barry Allen yang melihat kejadian itu mula berlari semula ke Chrono Bowl berulang kali dan cuba untuk mengubah keadaan. Tetapi dia tetap juga gagal dan akhirnya mula menyedari yang dia tidak boleh mengubah takdir.

Akhirnya Barry Allen mengalah dan mula pergi kembali kepada saat asal di mana ibunya mati ditangan penjenayah. Dia sedar yang takdir tidak boleh berubah dan akur dengan keadaan tersebut. Selepas bertemu untuk kali terakhir, dia pun kembali ke masa kini dan semuanya kembali seperti sedia kala.

Lakonan Ezra Miller untuk watak Flash boleh dianggap biasa sahaja dan ianya lebih santai berbanding ketika membintangi filem Justice League. Filem ini sebenarnya menjadi meriah dengan kemunculan semula Micheal Keaton bagi watak Batman. Walaupun sudah berusia tetapi dia masih lagi tangkas menghidupkan watak Bruce Wayne dan Batman. Lakonannya juga sungguh mempersonakan serta berjaya mengubat rindu peminat Batman bagi era tahun 80an.

Kemunculan semula Ben Affleck sebagai Batman juga turut dinanti-nantikan peminat setianya. Mungkin ini adalah salam perpisahan buat dirinya sebagai Batman kerana semua sudah maklum yang CEO baru DCU mempunyai perancangan yang tersendiri tanpa melibatkan Ben Affleck. Lakonan terakhirnya sebagai Batman juga cukup cemerlang dan akan sentiasa diingati.

Setelah membuat kemunculan di filem Shazam, Wonder Woman lakonan Gal Gadot pula turut hadir di filem ini. Sama seperti Ben Affleck, filem ini juga adalah salam perpisahan buat Gal Gadot sebagai Wonder Woman. Semua pelakon yang berlakon dalam Justice League telah mengucapkan selamat tinggal kepada watak lakonan mereka dan kini akan muncul pula pelakon baru yang akan menggantikan mereka.

Filem Flash masih belum habis dengan kejutan kerana di penghujungnya muncul pula satu lagi pelakon yang pernah membintangi watak Batman pada era 90an. Siapakah dia? Ayuh ke panggung!

Penulis merupakan pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).


Rasfan Abu Bakar adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.