The Super Mario Bros. Movie: Lucu & Menawan

Movie
3 May 2023 • 1:30 PM MYT
Rasfan Abu Bakar
Rasfan Abu Bakar

Penulis merupakan pensyarah seni visual di ASWARA

image is not available
Foto: Dolby

Oleh: Rasfan Abu Bakar

Salah satu permainan video paling popular era 90an telah hadir ke layar perak. Filem Super Mario Bros. diterajui oleh watak Mario dan Luigi sungguh melucukan dan menjadi pengubat rindu buat mereka yang gemar kepada permainan video ini.

Filem Super Mario Bros. menceritakan tentang  kisah dua beradik dalam pengembaraan mereka di Mashroom Kingdom. Chris Pratt membintangi watak utama sebagai Mario dengan Charlie Day sebagai Luigi, Anya Taylor-Joy sebagai Princess Peach dan Jack Black sebagai Bowser.

Image from: The Super Mario Bros. Movie: Lucu & Menawan
Foto: IMDB

Kisah pengembaraan ini bermula tatkala Mario dan Luigi cuba untuk menyelamatkan bandar Brooklyn daripada banjir. Mereka mencari punca masalah dan mula memanjat  ke paip utama tetapi akhirnya jatuh ke dalam pembetung dan secara tidak sengaja menemui satu sistem paip yang telah lama ditinggalkan. Kemudian Mario dan Luigi ditarik masuk melalui salah satu paip tersebut yang merupakan sebuah portal  untuk ke alam lain.

Mereka berdua telah terpisah di mana Luigi tiba di The Dark Lands sementara Mario pula  di Mashroom Kingdom. Di Mashroom Kingdom Mario bertemu dengan makhluk kecil berkepala cendawan bernama Toad. Mario menerangkan kepada Toad bahawa dia telah dipisahkan daripada Luigi dan berdasarkan penerangannya, Toad menyatakan bahawa Luigi berada di The Dark Lands. Dia kemudianya membantu Mario ke istana Mushroom Kingdom bagi mendapatkan bantuan.

Mario kemudianya tiba di istana dan bertemu dengan Puteri Peach. Mario memohon pertolongan agar dapat membebaskan Luigi dari cengkaman Bowser yang merupakan ketua The Dark Lands. Puteri Peach bersetuju tetapi mereka kekurangan askar dan disebabkan itu dia meminta pertolongan dari Kong Kingdom, satu kaum yang terdiri dari pahlawan spesis gorilla.

Image from: The Super Mario Bros. Movie: Lucu & Menawan
Foto: Impawards

Dengan bantuan dari Kong Kingdom yang terdiri daripada rajanya iaitu Cranky Kong dan puteranya Donkey Kong, mereka pun mula mengorak langkah untuk berdepan dengan tentera Bowser. Tetapi rancangan tersebut telah berjaya dihidu oleh Bowser dan mereka diserang hendap ketika berada di laluan pelangi. Puteri Peach serta tentera Kong Kingdom telah ditawan oleh Bowser. Sementara itu Mario dan Donkey Kong telah jatuh ke dalam laut dan ditelan pula oleh seekor ikan paus gergasi.  

Ketika berada didalam perut ikan, Mario dan Donkey mula mengatur strategi untuk menewaskan Bowser. Setelah keluar dari ikan paus gergasi itu mereka telah bergabung tenaga mengalahkan Bowser dan tenteranya. Akhirnya rancangan mereka berjaya dan Bowser telah ditundukkan serta bertukar menjadi seekor penyu yang kecil.

Super Mario Bros. merupakan sebuah filem kanak-kanak yang hampir sempurna. Ia mempunyai animasi dan kesan warna yang menakjubkan. Momentum dan jalan ceritanya juga cukup kuat untuk mengelakkan kanak-kanak daripada  berasa bosan. Setiap karekter adalah unik dan disukai termasuklah watak penjahat utamanya. Pembinaan setiap wataknya kemas dan dialognya juga tidak meleret-leret. Jadi bagi mereka yang gemarkan permainan video Super Mario, jangan tunggu lagi. Jom ke panggung!

Penulis merupakan pensyarah seni visual Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).


Rasfan Abu Bakar adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.