The Voice Of Hind Rajab: Malaysia Antara 5 Negara Disasar Ungguli Jumlah Kutipan Tertinggi 

LocalMovie
13 Jan 2026 • 11:55 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Malaysia disasarkan untuk berada dalam kelompok lima negara teratas dari segi kutipan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pengiktirafan filem berkenaan di peringkat antarabangsa termasuk anugerah Oscar.

Perkara itu dikongsikan oleh Zainal Rashid Ahmad atau ZRA dalam sesi Coffee Talk bersama ZRA yang berlangsung 10 Januari lalu. 

image is not available

Jelasnya, filem berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai medium naratif realiti, malah menjadi ruang katarsis emosi kepada penonton yang terkesan dengan konflik berterusan di Gaza sejak hampir 800 hari. 

Menurut ZRA, The Voice of Hind Rajab dilihat sebagai antara naskhah perfileman yang berjaya mengetengahkan kisah sebenar penderitaan rakyat Palestin melalui penceritaan visual yang berasaskan dokumentasi dan nilai sejarah. 

“Keberuntungan kita hari ini ialah kerana kisah Hind Rajab ini sempat dirakam. Banyak kisah lain sejak 52 tahun lalu tidak pernah difilemkan,” katanya.

Beliau yang turut bertindak sebagai suara kempen filem itu berkata, kekuatan utama karya berkenaan terletak pada realiti kisah Hind Rajab yang berjaya dirakam dan difilemkan, menjadikannya antara tragedi sebenar pertama melibatkan kanak-kanak Palestin yang dipersembahkan secara terperinci kepada penonton umum. 

Coffee Talk bersama ZRA juga menjadi kupasan pasca tayangan The Voice of Hind Rajab, yang menekankan bahawa kisah Hind Rajab adalah kesinambungan daripada 50 tahun siri pembunuhan terancang terhadap kanak-kanak Palestin. 

image is not available

Dalam sesi itu, penonton dibawa mengimbau kisah kanak-kanak lain yang syahid seperti Lamis Najim, Faris Odeh, Muhammad Al-Durrah dan Reem Nabhan bagi memberi perspektif lebih luas tentang penderitaan generasi muda di Gaza. 

Tetamu yang hadir didedahkan dengan siri kekejaman pembunuhan yang meliputi bukan sahaja di Gaza tetapi juga di kawasan lain yang terlibat dalam konflik, menjadikan sesi tersebut lebih daripada sekadar perbincangan filem tetapi ruang pendidikan dan kesedaran kemanusiaan. 

Dalam pada itu, beliau turut menyeru rakyat Malaysia agar terus menjadi suara kepada Palestin dengan memberikan sokongan melalui kehadiran ke pawagam bagi menonton filem berkenaan, sekali gus menyemarakkan inisiatif #GerakanSuaraMalaysia. 

“Jika negara lain boleh berada di kedudukan lima teratas, kenapa tidak Malaysia?” soalnya.

Sesi Coffee Talk bersama ZRA dan tayangan filem The Voice of Hind Rajab, dihadiri lebih 200 peserta juga mendapat sokongan beberapa selebriti tempatan dan aktivis kemanusiaan, antaranya Heliza dan Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Dr Hafiz Sulaiman, Mior Malek Raiyani, Asrulnizam Kadir dan Amirulhakim Lokman. 

image is not available

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.

Filem yang mula ditayangkan bermula 8 Januari lalu dan kini berada di 32 lokasi, mengisahkan tragedi sebenar yang menimpa Hind Rajab, seorang kanak-kanak Palestin berusia enam tahun yang terkorban selepas terperangkap di dalam sebuah kenderaan di Gaza susulan serangan tentera Israel pada 29 Januari 2024.

Tragedi berkenaan merakam usaha sukarelawan yang menerima panggilan daripada Hind ketika berusaha menyelaras penghantaran bantuan kecemasan, namun misi itu gagal menyelamatkan nyawanya. - Getaran, 13 Januari 2026