Threads Akan Menguburkan Twitter Seperti Facebook Menguburkan MySpace

TechnologyDigital
12 Jul 2023 • 2:53 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Dalam masa kurang seminggu, Threads sudah mempunyai 100 juta akaun pengguna yang bersamaan dengan sekitar 20% jumlah pengguna Twitter sekarang. Masa depan Twitter nampak semakin kelam apabila melihat jumlah penggunanya semakin menurun sejak diambil alih oleh Elon Musk.

image is not available

Terdapat banyak petanda bahawa Threads ialah pesaing sebenar kepada Twitter kerana penglibatan Mark Zuckerberg yang merupakan veteran “perang media sosial”. Kita mentertawakan Zuck kerana kegagalan beliau dalam dunia metamesta menyebabkan kerugian berbilion dolar. Yang pasti Zuck lebih memahami pengguna media sosial berbanding Elon maka ini akan menjadi sebab mengapa aku meramalkan Threads akan menguburkan Twitter seperti Facebook mengambus MySpace pada tahun 2008.

Sejarah Pasti Berulang

Facebook dilancarkan pada tahun 2004 untuk pelajar kolej tertentu sahaja sebagai alternatif MySpace yang lebih “cool”. Pada tahun 2006 ia dibuka kepada semua sekaligus menebuk lubang pada MySpace seperti bongkah ais yang menenggelamkan Titanic. Aku samakan MySpace dengan Titanic kerana kedua-duanya dilihat tidak mungkin karam kerana terlalu dominan.

Kita sekarang di tahun 2023 dan sudah ada generasi yang tidak mempunyai memori kewujudan MySpace apatah lagi Friendster kerana sejak dilahirkan mereka hanya mengenali Facebook sebagai platform media sosial terbesar dunia.

image is not available
Jika anda pernah ada akaun MySpace tahniah kini disahkan tua

Dalam tempoh 19 tahun sejak Facebook dilancarkan, Zuck berjaya mengesampingkan cabaran Instagram, WhatsApp, dan Snapchat menerusi pengambilalihan serta “mengambil inspirasi” daripada ciri platform lain seperti Reels dan Stories. Zuck mungkin gagal dalam metamesta tetapi beliau setakat ini masih belum kalah dalam perang media sosial.

Hanya TikTok masih mempunyai kemampuan menumbangkan empayar Meta. Tetapi mereka berhadapan pula dengan kerajaan Amerika Syarikat yang ingin mengharamkannya kerana didakwa bersekongkol dengan China. Biasanya jika haram di A.S, ia akan juga diharamkan di negara-negara sekutu seperti yang dapat dilihat berlaku kepada Huawei.

Zuck Tidak Sebodoh Elon

Kesilapan terbesar Elon di Twitter bukanlah membuang ribuan pekerja, membenarkan akuan sayap kanan kembali aktif, memberikan platform kepada golongan fasis dan meletakkan banyak iklan. Majoriti pengguna Twitter tidak peduli akan kesilapan-kesilapan ini asalkan laman berfungsi seperti sebelum dibeli oleh Elon.

Bagi aku kesilapan terbesar Elon ialah menjual calit VERIFIED dan menjualnya sebagai Twitter Blue. Beberapa bulan lalu mereka yang tidak melanggan dibuang calit pengesahan identitinya. Dalam sekelip mata akaun rasmi media dan organisasi dipaksa membayar ribuan ringgit sebulan semata-mata untuk ciri percuma selama ini di Twitter dan masih lagi percuma di platform lain.

image is not available

Proses mencari maklumat sah daripada akaun rasmi menjadi sukar sekelip mata. Elon telah mengatakan proses verified sebelum ini korup. Jika ia benar sekalipun, menghapuskannya bukanlah langkah paling bijak. Semua yang dilakukan oleh Elon setakat ini adalah tergesa-gesa tanpa memikirkan kesan jangka panjang.

Akaun selebriti, ahli politik, media dan agensi kerajaan palsu tumbuh seperti jerawat sejurus selepas Elon menghapuskan calit biru legasi. Lebih parah ada banyak kes pembeli Twitter Blue memalsukan identiti sehingga menyebabkan kerugian saham bernilai ratusan juta di Amerika Syarikat disebabkan hanya satu ciapan. Di Malaysia ada yang menyamar menjadi PMX juga lengkap dengan calit biru Blue.

image is not available
Astro lebih awal daripada Elon

Bagi pelanggan Blue pula langganan terasa tidak berbaloi kerana masih disajikan iklan. Ini langsung tidak masuk akal kerana langganan Spotify Premium, Netflix, dan YouTube Premium kesemuanya tampa iklan. Langkah Elon sama seperti langganan TV satelit berbayar yang masih memaparkan iklan untuk memaksimumkan keuntungan.

Membunuh Angsa Bertelur Emas

Zuck tahu calit biru pada akaun adalah sesuatu yang bernilai dan tidak sepatutnya diberi dengan mudah. Di Threads, calit biru akaun Instagram secara automatik dipindahkan kepada pemegang akaun yang sama secara PERCUMA. Dapat dilihat lebih banyak selebriti di Threads berbanding di Twitter sekarang kerana peminat tahu mereka berinteraksi dengan akaun rasmi.

image is not available

Langkah Pandir Elon beberapa bulan dijadikan model untuk si pandai Zuck sebagai modal menarik selebriti ke Threads. Anda mungkin tidak bersetuju tetapi kehadiran selebriti pada sesebuah platform boleh menarik minat pengguna lain. Kerana $8 sebulan, Elon pasti akan hilang berbilion dollar kerana nilai Twitter yang kini tidak sampai separuh daripada $44 bilion yang dibayar untuk membelinya.

Apa yang aku cakapkan ini mungkin data anekdotal sahaja tetapi sejak Threads dilancarkan, boleh dilihat ciapan yang dihantar oleh akaun jenama-jenama besar semakin berkurangan. Mengapa perlu membuang masa pada platform yang meminta bayaran jika ada alternatif lebih “muda” dan lebih penting sekali percuma?

Masih Fasa Bulan Madu

Elon suka menembak kaki sendiri kemudian menyalahkan orang lain atas kejatuhan Twitter. Tetapi beliau seharusnya lebih merendah diri dan mengakui beliau tidak mempunyai pengalaman menguruskan media sosial. Twitter bukan Tesla dan Space X yang tidak mempunyai banyak pencabar di awal penubuhan. Beliau mungkin arif dalam dunia automotif dan aeroangkasa tetapi seorang “NOOB” dalam media sosial. Aku mempunyai kepakaran blog yang serius dan aku tidak ada masalah dungu dalam pengetahuan ilmu tasawuf.

image is not available

Masih belum terlambat untuk Elon mengembalikan kemudi kapal Twitter ke arah yang betul. Ramai berpindah ke Threads hanya kerana bengang dengan Elon. Untuk seketika dosa-dosa lama Zuck dimaafkan walaupun beliau sebenarnya mempunyai rekod yang teruk dalam memastikan data pengguna tidak disalahguna. Ramai aku lihat lupa dengan skandal Cambridge Analytica dan berbilion denda yang dibayar Facebook disebabkannya.

Threads mengumpul pelbagai data peribadi pengguna, masih tidak boleh dipadam akaun tanpa memadam akaun Instagram dan menggunakan susur masa algoritma yang amat dibenci pengguna Twitter.

image is not available

Zuck hanya perlu duduk diam. Catit kesemua rungutan pengguna Threads selama beberapa bulan dan membaikinya secara berperingkat. Kalau anda membaca laman gosip, kita sekarang “dalam fasa mengenal hati budi doakan kebahagiaan kami berdua”. Yang cantik molek sahaja akan dapat dilihat dalam fasa ini.

Apakah yang terjadi selepas habisnya fasa bulan madu? Zuck pernah membuatkan Instagram menjadi VIDEOGRAM bagi mencabar TikTok sehingga pengguna mogok. Facebook pula dipenuhi pelbagai skim penipuan yang tidak dihalang sehingga menerima teguran Kementerian Komunikasi Digital. WhatsApp pula akan mempunyai iklan dalam masa terdekat.

Anda mungkin suka dengan Threads sekarang kerana gembira melihat Elon mengamuk. Tetapi hakikatnya Zuck sedang mengumpul Infinity Stones untuk Gautlet Media Sosial. Apabila jari diketik dan pesaing semua menjadi debu, adakah semua ini berbaloi?