
PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Alif Satar berdepan desakan netizen supaya menghentikan promosi sebuah jenama wangian lelaki Indonesia selepas syarikat berkenaan mencetuskan kontroversi menerusi satu hantaran yang menyentuh sentimen kenegaraan dalam media sosial semalam.
Alif, 36, yang sebelum ini dilantik sebagai duta produk terbabit turut menerima tempias kecaman apabila netizen mula mempersoalkan pendiriannya susulan kontroversi melibatkan perdebatan netizen dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia yang kini sedang hangat diperkatakan.
Hasil tinjauan dalam media sosial, segelintir netizen meminta Alif supaya menamatkan kerjasama dan tidak lagi mempromosikan produk berkenaan yang cuba mencetuskan ‘perang’ antara dua negara.
“Alif tolong hentikan kerjasama dengan Kahf, kami boikot produk Indonesia.
“Mereka lupa rakyat negara mana yang tolong pemandu e-hailing ketika rusuhan dulu,” komen netizen.
Desakan tersebut dibuat selepas hantaran yang dianggap menyentuh sensitiviti tersebar dan mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial termasuk pembeli jenama tersebut dari Malaysia.
Dalam pada itu, selepas dihambat kecaman, Kahf tampil memohon maaf atas ketelanjuran perkongsian tersebut menerusi satu hantaran dalam Threads.
“Satu hantaran yang dimuat naik menerusi akaun kami adalah perkara yang tidak mencerminkan nilai dan rasa hormat yang kami pegang sebelum ini.
“Hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia sentiasa berteraskan persaudaraan dan rasa hormat. Kami komited untuk mengekalkan rasa hormat yang sama terhadap semua negara dan budaya.
“Kami mengambil tanggungjawab sepenuhnya kerana gagal memenuhi komitmen tersebut. Kami telah memadam hantaran berkenaan dan komited untuk melakukan yang lebih baik,” katanya.
Kahf turut memohon maaf kepada semua pihak yang kecewa susulan perkongsian berkenaan serta berterima kasih kepada orang ramai kerana menegur pihaknya.
“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas segala kekecewaan yang berlaku. Terima kasih kerana memastikan kami bertanggungjawab atas perkara ini,” katanya lagi.
Setakat ini, Alif masih belum memberikan sebarang kenyataan berhubung desakan tersebut atau menjelaskan status kerjasamanya dengan Kahf.
Sejak semalam, ‘perang’ antara netizen Malaysia dan Indonesia semakin melarat susulan perdebatan mengenai rakyat negara jiran yang memandang rendah skuad bola sepak tanah air selepas mereka juara Piala ASEAN FIFA 2026 apabila menewaskan Thailand.
Rentetan itu, netizen Malaysia tampil bersuara mempertahankan diri dengan melahirkan rasa bangga dengan kemajuan negara termasuk memiliki pasport paling berkuasa di dunia selain mengecam pembakaran hutan di Kalimantan, Indonesia sehingga menyebabkan jerebu di sini. – KOSMO! ONLINE
The post Threads wangian Indonesia buat hal, nama Alif Satar dipetik appeared first on Kosmo Online.
