Thule perkenal tiga kerusi kanak-kanak

LocalFamily & Parenting
31 Oct 2026 • 5:23 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Thule perkenal tiga kerusi kanak-kanak

 

PETALING JAYA – Jenama gaya hidup aktif dari Sweden, Thule memperkenalkan tiga model kerusi keselamatan kanak-kanak generasi baharu menerusi Thule Expo 2026 di JioSpace, di sini.

Thule Maple, Elm dan Palm direka untuk memenuhi keperluan berbeza mengikut peringkat usia dan perkembangan kanak-kanak.

Thule Maple dikhususkan untuk bayi baru lahir dan boleh digunakan bersama beberapa model kereta sorong bayi Thule yang serasi, sekali gus memudahkan ibu bapa memindahkan anak dari kenderaan tanpa terlalu banyak mengganggu kedudukan bayi.

Thule Elm pula dilengkapi fungsi putaran 360 darjah bagi memudahkan ibu bapa meletakkan dan mengeluarkan anak dari tempat duduk, selain menyediakan kedudukan menghadap ke belakang untuk tempoh penggunaan lebih panjang.

Sementara itu, Thule Palm merupakan kerusi penggalak bersandar tinggi yang dilengkapi panduan tali pinggang keselamatan dan sistem pemasangan ISOFIX bagi membantu memastikan kedudukan kerusi lebih stabil apabila dipasang dengan betul.

Menariknya, reka bentuk Thule Palm turut mengambil kira penggunaan ruang dalam kenderaan apabila sehingga tiga kerusi berkenaan boleh dipasang sebaris di tempat duduk belakang bagi sesetengah model kenderaan yang bersesuaian.

Wakil pengedar tunggal Thule di Malaysia menerusi TSEA Lifestyle Sdn Bhd, Eugene Wong berkata, pengenalan kategori kerusi keselamatan kanak-kanak itu merupakan langkah baharu syarikat untuk memenuhi keperluan pasaran keluarga tempatan.

“Permintaan terhadap kerusi keselamatan kanak-kanak di Malaysia adalah mandatori di bawah undang-undang. Pasaran ini sentiasa berkembang dan Thule melihat peluang kukuh untuk menembusi segmen kenderaan premium bersama rakan strategik,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga model berkenaan sudah mendapat kelulusan penuh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tersedia untuk pasaran tempatan pada harga bermula RM1,790.

Bagi memudahkan pengguna mendapatkan produk itu, Thule turut bekerjasama dengan rangkaian kedai barangan bayi serta jenama automotif seperti Perodua, Volvo dan Subaru.

Bagaimanapun, tarikan Thule bukan hanya terhad kepada produk keselamatan kanak-kanak apabila jenama itu turut menawarkan pelbagai kelengkapan untuk perjalanan dan aktiviti harian, termasuk beg galas, bagasi, kotak bumbung kenderaan, pembawa basikal serta kereta sorong bayi.

Antara koleksi beg yang ditawarkan ialah Thule Subterra 2, EnRoute, Chasm, Aion dan Accent, manakala pilihan bagasi merangkumi Subterra 2 Carry-On Spinner, Aion Carry-On Spinner serta Chasm Wheeled Duffel.

Bagi penggemar perjalanan jauh, kotak bumbung seperti Thule Motion 3, Force 3 dan Pulse 2 menyediakan ruang tambahan bagi membawa barangan tanpa perlu memenuhi ruang kabin kenderaan.

Sementara itu, pembawa basikal menerusi model Epos, EasyFold 3, VeloSpace 3 dan OutPace menawarkan pilihan kepada pengguna yang mahu membawa basikal ketika bercuti atau melakukan aktiviti rekreasi.

Image from: Thule perkenal tiga kerusi kanak-kanak
Pembawa basikal yang dipasang pada tow bar atau palang tunda di bahagian belakang kenderaan menjadi pilihan yang semakin mendapat perhatian.

Menurut Pengurus Kategori Pembawa Basikal Thule, Mikael Osterling, perubahan trend penggunaan basikal, khususnya peningkatan basikal elektrik atau e-basikal, turut mempengaruhi reka bentuk dan pembangunan produk berkenaan.

“E-basikal semakin popular dan lebih berat berbanding basikal biasa. Oleh itu, agak sukar untuk mengangkatnya ke atas bumbung kereta. Sebab itulah semakin ramai pengguna beralih kepada pembawa basikal jenis towbar yang dipasang di bahagian belakang kenderaan,” katanya.

Selain itu, rangkaian kereta sorong bayi seperti Urban Glide 3, Sleek 2, Spring 2 dan Charm turut melengkapkan pilihan produk keluarga, manakala khemah atas bumbung Approach dan Widesky serta pembawa kanak-kanak Sapling menyasarkan peminat aktiviti luar.

The post Thule perkenal tiga kerusi kanak-kanak appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved