Tiada ancaman siber besar dikesan terhadap data rakyat dan infrastruktur digital negara setakat ini – Fahmi

LocalTechnology
18 Nov 2026 • 6:25 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiada ancaman siber besar dikesan terhadap data rakyat dan infrastruktur digital negara setakat ini – Fahmi Image from: Tiada ancaman siber besar dikesan terhadap data rakyat dan infrastruktur digital negara setakat ini – Fahmi johardy18/11/2026 - 18:25

PUTRAJAYA 18 Nov - Tiada ancaman siber besar yang menjejaskan data rakyat atau infrastruktur digital negara dikesan setakat ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

 

Beliau berkata, dakwaan kebocoran data rakyat Malaysia di beberapa laman web gelap masih belum disahkan, manakala Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) belum melaporkan sebarang insiden seumpama itu.

 

“Saya ada menerima laporan, tetapi sehingga hari ini, tiada ancaman besar yang mengakibatkan data rakyat terjejas atau dicuri.

 

“Ada kalanya data yang terbabit mungkin data lama daripada insiden terdahulu. Setakat ini, tiada insiden sedemikian dilaporkan oleh Nacsa,” katanya kepada pemberita selepas sesi forum Persidangan Idea Malaysia (SIM) sempena Festival Idea Putrajaya (FOI) 2026 di sini hari ini.

 

Mengulas langkah kerajaan untuk memantau dan menangani ancaman siber global, Fahmi berkata, Malaysia sedang mempercepat peralihan kepada sistem dan infrastruktur telekomunikasi yang selamat daripada ancaman kuantum.

 

Menurutnya, teknologi komunikasi itu menggunakan penyulitan kuantum untuk meningkatkan keselamatan penghantaran data dan menyukarkan pihak yang berniat jahat melakukan pencerobohan siber.

 

SKMM dan Nacsa bincang keselamatan rangkaian

Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Nacsa turut diarahkan mengadakan perbincangan dengan syarikat telekomunikasi dan pengendali rangkaian gentian optik bagi memastikan saluran komunikasi negara kekal selamat daripada ancaman berasaskan kuantum.

 

Mengenai ancaman siber susulan perkembangan kecerdasan buatan (AI), beliau berkata, penyalahgunaan ejen AI untuk melancarkan serangan siber secara terselaras menjadi antara kebimbangan utama di peringkat global, namun ancaman seumpama itu belum dikesan di Malaysia.

 

“Sudah tentu di Malaysia, Nacsa sebagai agensi yang bertanggungjawab akan memantau keadaan. Sekiranya ancaman itu semakin hampir atau mula membahayakan keselamatan siber agensi dan infrastruktur digital negara, kita akan mengambil tindakan untuk memastikan keselamatannya,” katanya.

 

Ancaman siber berasaskan AI semakin meningkat di seluruh dunia, khususnya menerusi penyalahgunaan rangka kerja ejen AI autonomi yang mampu melancarkan serangan secara terselaras tanpa pengawasan manusia secara berterusan.

 

Laporan Google Threat Intelligence Group (GTIG) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat awal bulan ini mendedahkan penggodam menggunakan alat ujian penembusan berasaskan AI seperti Artex untuk mengautomasikan pencerobohan yang menyasarkan sektor kewangan, kerajaan, tenaga, penjagaan kesihatan dan telekomunikasi.

 

Sementara itu, siri serangan siber pada Oktober dan November tahun ini dilaporkan menyasarkan sistem penyejukan dan rantaian sejuk di kira-kira 700 pasar raya di sekurang-kurangnya sembilan negara Eropah, sekali gus mengganggu bekalan makanan dan menyebabkan kerugian puluhan juta euro.

 

Malaysia hadapi ribuan cubaan serangan setiap bulan

Sabtu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berdepan ribuan cubaan serangan siber setiap bulan, sekali gus menekankan keperluan untuk pasukan keselamatan bertindak lebih pantas dan dilengkapi peralatan yang lebih baik.

 

Pada 4 Nov, Nacsa menaikkan tahap ancaman keselamatan siber negara daripada rendah kepada sederhana susulan perkembangan keselamatan semasa bagi memastikan perkhidmatan penting negara terus terlindung daripada kemungkinan gangguan. - BERNAMA

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved