‘Tiada Apa Nak Disorokkan, Saya Akan Beri Kerjasama Penuh’ – Tengku Zafrul

LocalPolitics
8 Dec 2022 • 4:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion - Gambar oleh Syeda Imran

KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan dana RM600 bilion.

“Tadi media tanya, sama ada saya telah dipanggil SPRM untuk memberi keterangan isu RM600 bilion.

“Jawapan saya mudah. Tiada apa yang nak disorokkan,” katanya menerusi satu ciapan di Twitter, hari ini.

Bagaimanapun katanya, beliau masih belum dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan berkenaan.

“Setakat ini SPRM belum hubungi saya. Sekiranya dihubungi, saya akan beri kerjasama penuh,” katanya.

Semalam Getaran melaporkan, SPRM dijangka memanggil Tengku Zafrul dan dua lagi ahli politik terkemuka bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM600 bilion.

Menurut sumber, selain Zafrul, dua lagi ialah Muhyiddin yang juga Pengerusi PN dan mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Siasatan itu dipercayai berkaitan dakwaan penyelewengan RM600 bilion semasa Muhyiddin menerajui kerajaan, terutama ketika negara berdepan ancaman pandemik COVID-19.

Zafrul dilantik sebagai Menteri Kewangan semasa pentadbiran Muhyiddin dan meneruskan peranan sama dalam kerajaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Terdahulu, SPRM mengesahkan kepada Bernama bahawa suruhanjaya anti rasuah itu sudah membuka kertas siasatan isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan perkara itu, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan berkenaan.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM600 bilion ketika negara berdepan pandemik COVID-19 pernah dibangkitkan mantan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November lalu.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada agensi berkaitan untuk menyiasat isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.

Anwar dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan telah memaklumkan beberapa pelanggaran membabitkan isu itu.

Muhyiddin yang juga mantan Perdana Menteri kelapan pula dilaporkan berkata, beliau tidak gentar jika perlu disiasat berhubung isu sama. – Getaran, 8 Disember 2022