SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) memaklumkan siasatan awal yang dijalankan berhubung dakwaan tular seorang pemandu lori kutipan sisa domestik meminta makanan percuma daripada peniaga di Taman Andalas, Klang tidak menemukan sebarang bukti atau pengakuan yang menyokong tuduhan berkenaan.
KDEBWM berkata, sejurus menerima maklumat berhubung perkara tersebut, pihaknya telah menjalankan siasatan awal bagi mendapatkan fakta dan penjelasan berhubung dakwaan yang dibangkitkan.
“Satu sesi pertemuan dan semakan telah diadakan bersama subkontraktor kutipan sisa domestik bagi KDK 55, Suhana Ismail Enterprise di Pejabat KDEBWM Cawangan Klang pada 9 Jun 2026.
“Pihak subkontraktor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut serta menegaskan bahawa pemandu lori yang terlibat tidak pernah meminta, memaksa atau mengugut mana-mana penduduk atau peniaga untuk memberikan makanan percuma, sedekah makanan atau sebarang bentuk sumbangan sebagai syarat bagi pelaksanaan perkhidmatan kutipan sisa domestik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
KDEBWM menjelaskan, pihak subkontraktor turut memaklumkan bahawa perkhidmatan kutipan sisa domestik di kawasan Taman Andalas sentiasa dilaksanakan mengikut jadual operasi dan prosedur kerja yang telah ditetapkan oleh KDEBWM tanpa sebarang syarat, tuntutan atau permintaan daripada petugas kepada penduduk.
Menurutnya, bagi membersihkan nama baik pemandu yang terlibat serta menafikan dakwaan yang tular secara rasmi, pihak subkontraktor telah mengarahkan pemandu berkenaan untuk membuat laporan polis.
Katanya, tindakan itu juga sebagai rekod rasmi bahawa pemandu terbabit tidak pernah meminta atau memaksa mana-mana pihak memberikan makanan percuma atau sedekah makanan, mahupun mengaitkan perkara tersebut dengan pelaksanaan tugas kutipan sisa domestik.
Bagaimanapun, KDEBWM menegaskan, pihaknya akan terus memantau perkembangan isu itu dan bersedia menjalankan siasatan lanjut sekiranya terdapat maklumat baharu yang dikemukakan.
“KDEBWM sentiasa komited dalam memastikan setiap petugas, subkontraktor dan pihak yang terlibat dalam operasi kutipan sisa mematuhi standard integriti, profesionalisme dan etika kerja yang ditetapkan.
“Sebarang aduan yang diterima daripada orang awam akan disiasat secara telus, adil dan menyeluruh bagi memastikan mutu perkhidmatan serta kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan pengurusan sisa sentiasa terpelihara,” ujarnya.
KDEBWM turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kesahihannya kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan salah faham.
Ujarnya, ia juga boleh menjejaskan reputasi individu yang terlibat serta mencemarkan imej organisasi dan pihak yang sedang menjalankan amanah perkhidmatan kepada masyarakat.
