
Tiada Dalam Perancangan Pengarah, Henry Cavill Sahkan Tidak Lagi Bawa Watak Superman
Pelakon British, Henry Cavill mengesahkan bahawa dirinya tidak lagi akan kembali memegang watak Superman, yang sinonim dengan karier lakonannya sepanjang berada dalam industri perfileman.
Berita mengejutkan itu dikongsikan oleh beliau sendiri menerusi satu hantaran di Instagramnya (@henrycavill) hari ini, kira-kira pukul 9.00 pagi.

Dalam hantaran tersebut, Cavill memberitahu bahawa keputusan itu diketahui selepas beliau mengadakan pertemuan dengan James Gunn, pengarah filem Amerika dan Peter Safran, produser filem British, yang dijangka akan mengetuai pembikinan naskah Superman seterusnya.
”Berita sedih buat semua. Saya tidak lagi akan kembali memegang watak Superman,” katanya.
Henry berkata, ia merupakan satu berita sedih apatah lagi dia sebelum ini diminta oleh studio untuk mengumumkan berita bahawa dia akan memegang watak tersebut pada Oktober lepas. Walau bagaimanapun, Henry menegaskan bahawa dia menghormati keputusan yang dibuat.
“Saya menghormatinya. James dan Peter memiliki universe sendiri untuk dibina. Saya berharap mereka dan semua yang terlibat dalam universe yang baharu ini agar terus berjaya,”

Bukan itu sahaja, beliau turut menitipkan pesanan kepada peminat-peminatnya, terutama yang meminati watak Superman agar sentiasa menyokong watak fiksyen tersebut.
Baginya, walaupun tidak lagi memegang watak tersebut, Superman akan sentiasa ada bersama peminatnya.
“Bagi mereka yang telah berada di sisi saya selama ini…..kita boleh bersedih buat sementara waktu, tetapi kita harus ingat…. Superman masih ada. Semua yang dia perjuangkan masih wujud, dan contoh yang dia tunjukkan untuk kita masih ada.
”Giliran saya untuk menggalas watak adiwira ini sudah tiba di penghujung, namun apa yang ditegakkan oleh Superman tidak pernah berakhir,” katanya lagi.
Henry membuat kemunculan pertama watak tersebut menerusi filem Man of Steels (2013) diikuti dengan Batman v Superman: Dawn of Justice (2016), Justice League (2017) dan Zack Snyder’s Justice League (2021).
Sumber: @henrycavill via Instagram
The post Tiada Dalam Perancangan Pengarah, Henry Cavill Sahkan Tidak Lagi Bawa Watak Superman appeared first on Siakap Keli.





