
HANTARAN laman sosial pelakon dan penyanyi Fazura menjadi perhatian apabila berkongsi kalimah zikir yang seakan memberi gambaran berkaitan dengan kesulitan dihadapinya ketika ini.
Menerusi Threads, Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin menulis khalimah La hawla wala quwwata illa billah (لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِٱللَّٰهِ) yang bermaksud, ‘Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan (pertolongan) ALLAH’.
Warganet rata memberikan sokongan buat Fazura dan mendoakan segala hal yang sedang dihadapinya dipermudahkan.

"Semoga dipermudahkan dan diberi kelancaran dalam urusannya, aamiin."
"I never really care about celebrity life but what I heard today really caught my attention..you're such a strong woman. I hope you Fazura and Fatima always be safe and protected by God."
Terdahulu, bekas suaminya, Fattah Amin dijangka akan memfailkan semula permohonan bagi mendapatkan kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Fazura, berhubung isu hak lawatan anak tunggal mereka, Nur Fatima Aisya selepas permohonan terdahulunya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 31 Mac lalu.
Perkara itu disahkan peguam yang mewakili Fattah, Datuk Akberdin Abdul Kader, yang menjelaskan penolakan berkenaan bukan keputusan muktamad. Sebaliknya, Hakim Syarie, Salehan Yatim, meminta pihak Fattah memperincikan beberapa aspek sebelum permohonan kebenaran secara 'ex parte' itu difailkan semula.
Menurut Akberdin, pihaknya dimaklumkan dakwaan berlaku perlanggaran perintah mahkamah sebanyak enam kali dan Fattah mengalami kesukaran bertemu anaknya.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura bercerai talak satu pada 7 Oktober 2024 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Mereka berkahwin pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Nur Fatima Aisya.
Sumber: Threads

